KESETIAAN KEPADA RAJA DAN NEGARA

SOAL JAWAB JASA DI RADIO PERAK FM "APA KATA DEME" PADA 24 MEI 2015 BERSAMA PUAN ASMAR MAIZURA BINTI JOHARE ,PEGAWAI PENERANGAN JASA PARLIMEN LARUT

TAJUK : KESETIAAN KEPADA RAJA DAN NEGARA

SOALAN 1    

KESETIAAN KEPADA RAJA DAN NEGARA MERUPAKAN SALAH SATU DARIPADA PRINSIP DALAM RUKUN NEGARA. BOLEH PUAN PERJELASKAN SECARA RINGKAS BERKAITAN INTIPATI TAJUK INI YANG AKAN KITA KUPAS SECARA LEBIH TERPERINCI SELEPAS INI.

Dalam konteks Negara Malaysia pada hari ini, kita sedia maklum bahawa Kesetiaan kepada Raja dan Negara ini merupakan prinsip kedua daripada lima prinsip yang terkandung di dalam Rukun Negara yang menjadi ideologi nasional yang perlu kita ikuti. Prinsip ini menekankan kepada rakyat betapa pentingnya kesetiaan yang perlu ada di kalangan rakyat terhadap Raja/Pemimpin dan juga kesetiaan kepada Negara.

Dalam konteks Malaysia, setiap warganegara hendaklah menumpukan sepenuh taat setia, jujur dan ikhlas kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Amalan Sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berpelembagaan di Dalam Perlembagaan Malaysia telah meletakkann Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara.  Oleh itu, adalah menjadi tanggung jawab setiap rakyat yang menjadi warganegara Malaysia untuk taat setia kepada Yang di-Pertuan Agong. Manakala, di peringkat negeri pula, rakyat dikehendaki menumpukan taat setia kepada Raja / Sultan yang memerintah negeri tempat mereka bermastautin tersebut tanpa mengurangkan taat setia kepada Yang di-Pertuan Agong.

Dalam konteks Negeri Perak, Rakyat atau anak negeri Perak perlu menumpahkan Kesetiaan kepada Raja/Sultan iaitu kepada Duli Yang Maha Mulia, Paduka Seri Sultan Dr. Nazrin Muizzuddin Shah ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfurlah, Sultan Perak ke 35.

Institusi beraja yang terdapat di Malaysia pada hari ini merupakan satu Institusi amat penting dan telah berevolusi mengikut peredaran zaman dan memainkan peranan yang besar dalam kehidupan bernegara di Malaysia.

SOALAN 2

APAKAH PERANAN PENTING INSTITUSI BERAJA DALAM KONTEKS NEGARA MODEN MALAYSIA PADA HARI INI?

Jika kita melihat kepada sejarah, pemerintahan beraja telah sedia wujud dalam sistem sosial di kawasan Nusantara ini sejak berabad lamanya. Sebelum era Imperialisme Penjajahan Kapatalis Barat ke kawasan ini, Institusi Raja berperanan dalam pemerintahan dan pentadbiran negara berkonsepkan kuasa mutlak.

Dalam konteks Malaysia hari ini pula, apabila Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, dan pembentukan Malaysia 1963, institusi pemerintahan beraja itu diteruskan dengan beberapa pindaan dan telah berevolusi disesuaikan dengan konsep demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan pada hari ini.

Peranan Institusi Raja setelah merdeka telah pun digariskan dan termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan. Raja yang asalnya berkuasa mutlak sebelum era penjajahan telah berevolusi kepada Raja Berperlembagaan setelah pembentukan Negara Malaysia.

Raja Berperlembagaan bermaksud sistem pemerintahan beraja mengikut peruntukan dalam Perlembagaan Malaysia. Yang di-Pertuan Agong bertindak berdasarkan Perlembagaan Malaysia dan nasihat Perdana Menteri.  Semasa menjalankan tugasnya, baginda tidak boleh bertindak sendirian kecuali dalam perkara tertentu Yang memerlukan budi bicara baginda untuk membuat keputusan. Yang di-Pertuan Agong dipilih daripada kalangan sembilan orang Raja Melayu daripada sembilan buah Negeri Melayu secara bergilir-gilir. Pemilihan Yang di-Pertuan Agong dibuat mengikut peruntukan dalam Perlembagaan Malaysia.  Jawatan Yang di-Pertuan Agong diwujudkan sejak tahun 1957. Raja-raja pula menjadi Ketua Negeri masing-masing dan menjalankan tugas mengikut nasihat Menteri-menteri Besar atau Ketua-ketua Menteri.

Dalam Perlembagaan telah diperuntukkan 3 institusi berkaitan Raja iaitu Yang Di-Pertuan Agong, Raja-raja Melayu di sembilan buah negeri dan Majlis Raja-raja. Raja/Sultan di negeri masing-masing diberi kuasa untuk memelihara adat istiadat orang Melayu dan Pentadbiran Agama Islam di negeri masing-masing. Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong pula adalah Ketua Agama Islam bagi negeri-negeri yang tidak beraja seperti di Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, dan Wilayah-wilayah Persekutuan.

Selain itu, Perkara 55, Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa hanya Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sahaja yang boleh memanggil Parlimen untuk bersidang. Baginda juga mempunyai kuasa istimewa untuk memberhenti atau membubarkan Parlimen dan berperanan melantik Perdana Menteri. Peranan yang sama turut dimainkan diperingkat negeri oleh Raja/Sultan di negeri-negeri tersebut.

Dalam aspek pertahanan negara pula, Yang di-Pertuan Agong merupakan Ketua Tertinggi Angkatan Tentera Malaysia. Yang di-Pertuan Agong juga berkuasa memelihara kedudukan istimewa orang Melayu dan bumiputera negeri-negeri Sabah dan Sarawak dan menjaga kepentingan-kepentingan sah kaum-kaum lain.

Ini merupakan peranan Raja iaitu Yang di-Pertuan Agong yang sah dan telah termaktub dalam perlembagaan Malaysia dan dari sudut perundangan dalam konteks negara moden Malaysia pada hari ini.

SOALAN 3    

SELAIN DARI YANG TELAH TERMAKTUB DI DALAM PERLEMBAGAAN DAN PENTADBIRAN NEGARA, DARI SUDUT SOSIO MASYARAKAT PULA BAGAIMANA INSTITUSI RAJA INI MEMAINKAN PERANANNYA?

Peranan Institusi Beraja pada hari ini dalam kehidupan masyarakat boleh dilihat menerusi Titah, Duli Yang Maha Mulia, Paduka Seri Sultan Dr. Nazrin Muizzuddin Shah ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfurlah ketika istiadat pertabalan baginda di Balairung Seri, Istana Iskandariah pada 6 Mei 2015.

Baginda menyatakan, Raja pemerintah adalah payung kedaulatan negara dan baginda wajib memberi naungan saksama kepada setiap warga tanpa mengira kaum dan agama. Tahta pemerintahan iaitu Raja/Sultan berperanan sebagai tonggak kestabilan, sumber keadilan, teras perpaduan, payung penyatuan dan instrumen kesatuan dalam kepelbagaian yang wujud.

Institusi Raja pada setiap ketika tidak boleh bersifat partisan. Malah wajib mencuar tinggi di atas segala polemik politik kepartian dan berperanan sebagai penimbang tara untuk mendamaikan sebarang persengketaan yang wujud. Takhta/ Institusi Raja perlu bertenaga, bersifat dinamik lagi meyakinkan, memenuhi peranan sebagai payung penyatuan dalam landskap politik pada masa kini yang semakin memperlihatkan unsur-unsur perpecahan. Perpecahan ini jika tidak dikawal boleh mengancam keharmonian hubungan antara agama dan kaum di negara kita. Oleh itu, Institusi Raja seharusnya menjadi simbol kepada masyarakat terutamanya masyarakat majmuk yang wujud di Malaysia amnya dan Perak khasnya untuk bersatu-padu dalam sebuah komuniti yang saling perlu memerlukan.

Baginda juga bertitah, tahta bukan sekadar ornamen hiasan kerana pemerintahan berpaksikan raja termaktub secara perundangan dalam Perlembagaan Negara. Sepuluh peratus atau 19 daripada 183 Perkara dalam Perlembagaan Persekutuan adalah berkaitan raja kerana Malaysia mengamalkan sistem kerajaan berkonsepkan Raja Berpelembagaan dan demokrasi berparlimen. Ini bermakna negara kita telah memperuntukkan secara perundangan peranan dan tanggungjawab tertentu kepada raja pemerintah.

Istiadat pertabalan yang telah berlangsung juga boleh kita gambarkan, melambangkan kedaulatan Institusi Raja di Malaysia, satu pelanjutan adat serta kesinambungan sejarah budaya yang masih kekal berlangsung dan harus dipertahankan dalam era modenisasi.

Raja/Sultan juga merupakan Khalifah di muka Bumi ini dan kuasanya bersandarkan hukum syarak. Kemuliaan Raja dinilai dari sudut amal makruf dan menyempurnakan tanggung jawab kepada rakyat. Kuasa Raja tidak boleh dipertikaikan selagi tidak memperlihatkan sifat menyeleweng dan selagi Raja tersebut mematuhi hukum yang telah termaktub. Era kegemilangan sesuatu pemerintahan tercipta apabila adanya budaya hormat menghormati. Pemimpin menghormati ulama dan menghargai ilmuwan yang berani menyuarakan yang hak dan tegas menentang kebatilan. Dab begitulah seterusnya adanya perasaan hormat antara pelbagai latar masyarakat.

Dalam konteks sosio masyarakat, dapat kita simpulkan bahawa Institusi Raja/Sultan ini merupakan unsur penting bagi kedaulatan negara dan penyatuan anggota masyarakat berbilang kaum/etnik di Malaysia iaitu ke arah perpaduan nasional. Adalah diingatkan supaya kita tidak merosakkan Institusi ini kerana ia merupakan payung negara, pelindung agama Islam serta adat Melayu dan memberi naungan secara saksama kepada setiap warganegara Malaysia tanpa mengira kaum serta agama.

Oleh itu, ada ungkapan yang menyebut dan perlu difahami maksudnya. Payung negara ini adalah lambang kedaulatan warga, Jangan hanya dicari pabila panas terlalu terik atau ketika hujan, ibarat memberi teduh di kala panas dan menangkis air di kala hujan”. Peranannya adalah relavan pada setiap masa dan tidak terhad ketika hanya diperlukan.

SOALAN 4

KESETIAAN KEPADA PEMIMPIN INI MERUPAKAN SATU UNSUR YANG SANGAT PENTING DAN DITUNTUT, BAGAIMANA UNSUR INI DILIHAT DALAM KONTEKS AGAMA?

Untuk menjawab persoalan kita kita lihat contoh terdekat kita iaitu baginda Rasulullah SAW sebagai pemimpin ummah dan bertindak sebagai ketua negara yang mana baginda telah memberi penekanan khusus dalam membimbing umatnya dengan cara menggesa mereka sentiasa berakhlak mulia, taat beribadah kepada Allah, taat kepada pemimpin dan mencintai negara. Bimbingan ini akan menentukan mereka menjadi ummah yang terbaik yang mendapat pengiktirafan daripada Allah SWT di dunia dan akhirat. Sabda Rasulullah SAW:

Bermaksud: “Sesungguhnya tiada nabi selepasku dan tiada umat selepas kamu, Demi sesungguhnya beribadatlah kamu kepada tuhan kamu, tunaikan solat lima waktu, berpuasalah pada bulan Ramadhan, tunaikanlah zakat harta kamu dengan ikhlas hati kamu dan taatilah pemerintah-pemerintah kamu nescaya kamu akan masuk syurga tuhan kamu. ” (Riwayat al-Tirmizi)

Menurut pandangan Ibnu Hajar al Makky al Haitamy seorang ulama yang terkenal bahawa: Antara dosa-dosa besar ialah mensyirikkan Allah SWT, membunuh manusia, makan harta anak yatim, menuduh seseorang berzina, menderhaka kepada kedua ibu bapa, makan riba dan membatalkan kesetiaan kepada pemerintah.

Imam Nawawi dalam kitabnya Syarh Sahih Muslim menyatakan: Menderhaka kepada pemerintah dan memerangi mereka, maka hukumnya haram. Termasuk dalam perbuatan derhaka ialah membantah tanpa mengikut saluran yang sah. Apa-apa keputusan pemerintah yang dibuat berasaskan kuasa yang diberikan kepada mereka dalam menjalankan urusan pentadbiran negara.

Berdasarkan kepada i’tiqad Ahlus Sunnah wal-Jama’ah adalah menjadi satu tuntutan mentaati dan menghormati pemerintah. Ketaatan yang dimaksudkan di sini adalah merujuk kepada

  • PERTAMA: Mentaati mereka dalam urusan kebaikan (ma’ruf), termasuk merealisasikan perintah mereka yang ma’ruf dan membantu mereka dalam urusan kebaikan yang diperlukan,
  • KEDUA: Menghormati dan memuliakan kedudukan mereka sebagai pemimpin serta sentiasa mendoakan kebaikan untuk mereka,
  • KETIGA: Melaksanakan kebaikan bersama mereka,
  • KEEMPAT: Membenci maksiat yang mereka lakukan dan mengingkari keburukan yang mereka lakukan dengan cara nasihat dan kaedah-kaedah yang syar’i, dan
  • KELIMA: Tidak berusaha untuk menjatuhkan, membelot, menzahirkan sifat membangkang terhadap kepimpinan dan tidak menghina atau mencela  mereka.

Persoalan kesetiaan dan ketaatan kita terhadap pemerintah dan negara adalah merujuk kepada sejauh mana tanggungjawab kita dalam mempertahan, memelihara dan menjaga maruah negara agar ianya kekal aman dan selamat. Islam mengajar umatnya agar kasih kepada pemerintah dan negara kerana ia sebahagian daripada tanda keimanan.

Namun, persoalan besar timbul pada hari ini, mengapakah terdapat segelintir rakyat yang tidak bertanggungjawab dan cinta kepada negara sendiri sehingga sanggup menghina pemimpin dan negara, memijak gambar pemimpin serta sanggup membakar dan menukar bendera negara?. Jiwa mereka telah dipengaruhi oleh anasir-anasir luar yang cuba menjatuhkan maruah dan martabat pemerintah dan negara. Perbuatan sebegini adalah mencerminkan rendahnya akhlak, tidak berintergriti, tidak bertamadun dan biadab.

Berdasarkan penerangan ringkas saya tadi boleh lah disimpulkan Agama Islam sangat menekankan kesetiaan kepada Pemerintah dan dituntut dalam kehidupan. Jika ada ketidakpuasan terhadap sebarang isu yang timbul atau menegur kesilapan ada salurannya dan ada had serta batas-batasnya demi menjaga keharmonian dan perpaduan.

RUMUSAN    

Dalam membina tanggungjawab kesetiaan kepada pemerintah dan negara ianya sangat berkait rapat dengan jati diri, perasaan kasih, kesetiaan rakyat kepada pemimpin secara menyeluruh. Berasaskan kepada dalil-dalil yang jelas daripada al-Quran dan hadith Rasulullah SAW, para ulama telah bersepakat mengatakan bahawa taat kepada pemerintah adalah fardu kepada setiap muslim manakala menderhaka merupakan satu dosa besar. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Jangan kamu memaki para pemimpin negara, sebaliknya hendaklah kamu berdoa untuk kebaikan mereka kerana baiknya mereka akan membawa kebaikan untuk kamu. (Riwayat at-Tabarani).

Begitu juga menurut pandangan Ibnu Jamaah di dalam kitabnya Tahrir al-Ahkam menyatakan bahawa: Hendaklah seseorang itu mengetahui hak pemerintah yang begitu besar dan kewajipan meninggikan martabatnya supaya dengan itu hubungan dengan pemerintah berjalan mengikut cara yang mulia dan terhormat. Oleh itu perlakuan kurang adab yang dilakukan oleh sesetengah orang yang menggolongkan diri mereka sebagai zuhud bukanlah amalan yang sesuai dengan sunnah.

Imam al-Qurthubi rahimahullah di dalam tafsirnya mengatakan: Manusia sentiasa dalam kebaikan selama mana mereka menghormati pemimpin dan para ulama. Maka sekiranya mereka menghormati keduanya ini, Allah SWT akan memberikan kebaikan kepada kehidupan dunia dan akhirat mereka. Dan sekiranya mereka menghina keduanya, maka Allah akan merosakkan kehidupan dunia dan akhirat mereka”.

Justeru, rakyat diingatkan bahawa sikap tidak kasih serta menghina pemerintah dan negara dengan apa cara sekalipun, memporak perandakan negara, memusnahkan perpaduan kaum dan mementingkan kepentingan diri akan menghancurkan kedaulatan bangsa dan negara serta tanda hilangnya iman seseorang. Ingatlah pesan Rasulullah SAW bahawa sesiapa menghina pemerintah di bumi ini nescaya Allah SWT akan menghinanya di akhirat kelak. Usahlah terpengaruh dengan tipu daya sesetengah pihak yang cuba mengambil kesempatan demi mengejar kuasa dengan tidak mengiktiraf kesahihan pemerintah pada hari ini.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Sesiapa mendapat kuasa melalui kekuatan hingga ia menjadi pemerintah dan di panggil pemerintah orang Islam, maka tidak halal bagi sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari Akhirat berada semalam pun tanpa mengiktirafnya sebagai pemerintah samada ianya seorang yang baik atau fasik (Riwayat Imam Ahmad).

Sesungguhnya agama Islam berkehendakkan supaya setiap umatnya menjadi sebaik-baik manusia yang sempurna keperibadiannya, mulia budi pekertinya dan menjadi teladan yang baik kepada orang lain. Rasulullah SAW pernah menasihatkan kita dalam sabdanya:         

Maksudnya: “Sebaik-baik manusia ialah orang-orang yang bermanfaat kepada orang lain.” (Riwayat Al-Tabarani)

Ingatlah bahawa taat kepada pemerintah sebahagian daripada tuntutan kita sebagai umat Islam. Kita berdoa kepada Allah SWT agar mereka yang melakukan perbuatan yang tidak beradab dan tidak sopan ini diberi keinsafan dan berteduh dibawah payung keimanan. Kita juga memohon dikekalkan kesinambungan nikmat keamanan di kalangan kita, dijauhi segala malapetaka yang boleh menjejaskan usaha membangunkan agama, bangsa dan negara.

Marilah sama-sama kita merenung firman Allah SWT di dalam surah an-Nisa’ ayat 59:

Maksudnya: “ Wahai orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan Rasul dan taatlah kamu kepada  Ulil-Amri dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berselisih dalam sesuatu perkara, maka kembalikanlah ia kepada Allah dan Rasul-Nya jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya”.

Disediakan oleh : UKOM JASA PERAK

TOP

Opsyen Kebolehcapaian

(Accessibility Options)
Warna Fon
Atau Pilih:
Saiz Fon
A- A A+

.