PERUTUSAN SAMBUTAN HARI DEEPAVALI OLEH YAB PERDANA MENTERI

Kepada semua rakyat Malaysia yang beragama Hindu, saya bagi pihak Kerajaan dan seluruh rakyat Malaysia ingin mengucapkan Selamat Menyambut Hari Deepavali.

Sebagai sebuah negara, kita berasa amat bertuah kerana kita dapat mengamalkan tradisi-tradisi yang telah diamalkan sejak turun-temurun. Hidangan juadah yang enak dan keindahan rumah yang diterangi cahaya dan suasana kegembiraan adalah sesuatu yang dapat kita lihat ketika mengunjungi rumah terbuka sahabat-sahabat Hindu kita.

Saya yakin perayaan ini akan disambut dengan penuh semangat muhibbah kerana sambutan sebegini dapat memupuk tali persaudaraan dan keharmonian yang lebih kukuh di kalangan semua kumpulan etnik di Malaysia.

Dalam kita menyambut pesta cahaya yang membawa pengertian kejayaan cahaya mengatasi kegelapan dan kebaikan menumpaskan kezaliman, janganlah kita lupa untuk menerangi kehidupan mereka di sekeliling kita yang memerlukan bantuan dan pertolongan kita. Gunakanlah kesempatan seperti ini untuk melipatgandakan usaha kita demi memberi harapan yang lebih baik kepada masyarakat sekitar.

Dalam konteks tersebut, ingin saya ulangi pendirian Kerajaan bahawa kita akan meneruskan usaha kita untuk membantu masyarakat India dalam meningkatkan struktur, budaya dan ekonomi mereka agar tidak tercicir daripada arus pembangunan negara. Komitmen ini dapat dilihat dengan jelas melalui pelbagai inisiatif khusus yang telah kita laksanakan selama ini serta komitmen kita di dalam Bajet 2016 dan Rancangan Malaysia ke-11 yang akan menghasilkan satu pelan induk bagi hala tuju pembangunan sosioekonomi kaum India.

Akhir kata, saya sekali lagi mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Menyambut Hari Deepavali atau “Deepavali Vaalthukal” kepada semua rakyat Malaysia yang beragama Hindu dengan harapan bahawa cahaya sambutan ini akan menerangi kehidupan semua rakyat Malaysia untuk hidup dalam keadaan yang aman dan harmoni.

 

Sumber: https://najibrazak.com/bm/blog/perutusan-sempena-sambutan-hari-deepavali-2015-oleh-yab-perdana-menteri/

TOP

Opsyen Kebolehcapaian

(Accessibility Options)
Warna Fon
Atau Pilih:
Saiz Fon
A- A A+

.