JASA DI RADIO : BAJET 2015

Intipati temubual JASA Di Radio Perak FM bersama Encik Mohd Ramli Kamardin, Pegawai Penerangan JASA Parlimen Pasir Salak membincangkan  kupasan Bajet 2016.

SOALAN 1

SABAN TAHUN KITA BERBAHAS BERKAITAN BAJET SAMA ADA DI PERINGKAT PERSEKUTUAN ATAU NEGERI, BOLEH ENCIK RAMLI PERJELASKAN APAKAH YANG DIMAKSUDKAN DENGAN BAJET ITU SENDIRI SEBENARNYA DAN KEPENTINGAN BAJET KEPADA KERAJAAN DAN MASYARAKAT?

HURAIAN

Dalam Konteks Kerajaan, “Bajet” merujuk kepada “Belanjawan” iaitu  Anggaran Hasil dan Perbelanjaan bagi tahun hadapan yang digunakan sebagai alat perancangan dan pengurusan sumber ekonomi negara oleh kerajaan dalam memenuhi keperluan rakyat, perkembangan ekonomi dan pembangunan negara bagi tahun yang dirancang.

Asasnya, “Konsep Asas Belanjawan”, ia merupakan satu “Dokumen Perancangan Strategik” kerajaan yang mengandungi dasar-dasar, matlamat-matlamat dan strategi-strategi kerajaan yang akan dilaksanakan dalam tahun belanjawan, juga mengandungi program-program, aktiviti-aktiviti dan projek-projek yang akan dilaksanakan bagi mencapai strategi dan matlamat yang ditetapkan.

Didalamnya telah diselaraskan agihan sumber kewangan mengikut program-program, aktiviti-aktiviti dan projek-projek tersebut serta bagaimana dan berapa banyak hasil yang dikutip untuk membiayai program-program, aktiviti-aktiviti dan projek-projek yang dirancang dan didalamnya juga telah diperhalusi capaian sasaran prestasi iaitu output atau impak dari Bajet yang telah dirangka tersebut kepada rakyat dan negara keseluruhannya.

Bagi masyarakat, seperti kebiasaan pembentangan bajet atau belanjawan tahunan kerajaan amat dinantikan oleh segenap lapisan masyarakat. Terdapat pengharapan yang besar dalam pelbagai peringkat strata kehidupan masyarakat terhadap bajet yang dibentangkan. Ada yang benar-benar mengharapkan sesuatu dan ada pula golongan yang menjadi suatu bonus jika mereka mendapatnya.

Masyarakat di bawah sememangnya ingin tahu apa yang mereka akan dapat. Kerajaan sama ada di peringkat pusat atau negeri sememangnya melayan tuntutan-tuntutan ini dengan cara berhemah, bukan dibuat atas dasar kepentingan politik atau sesetengah pihak berpendapat gula-gula kepada rakyat tetapi rakyat/masyarakat di peringkat akar umbi perlu sedar ia sebenarnya merupakan satu tanggungjawab sosial yang dibuat oleh kerajaan kepada rakyat. Sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, semenjak merdeka hingga kini, kerajaan sedar, pembangunan yang berterusan adalah perlu bagi kesejahteraan rakyat berbilang etnik di negara ini dan di peringkat rakyat juga adalah perlu untuk memberikan sokongan dan menjadi peserta dalam program-program pembangunan yang telah direncanakan oleh kerajaan. Ketepikan perbezaan dan bersatu untuk pembangunan yang berterusan terutamanya untuk mencapai hasrat negara maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020.

SOALAN 2

BOLEH EN RAMLI PERJELASKAN INTIPATI PENTING DAN BIDANG FOCUS UTAMA YANG TELAH DIGARISKAN OLEH KERAJAAN DALAM BAJET 2016?

HURAIAN

Bajet 2016 telah dibentangkan oleh Perdana Menteri kita, YAB Dato Sri Mohd Najib Tun Abd Razak merangkap Menteri Kewangan di Dewan Rakyat Parlimen Malaysia pada Jumaat 23 Oktober 2015 jam 4 petang.

Bajet ini bertemakan “Mensejahterakan Kehidupan Rakyat”. Sebanyak RM267.2 Billion diperuntukkan oleh kerajaan dalam bajet berdasarkan jangkaan hasil negara bagi tahun 2016.  Bajet ini diagihkan oleh kerajaan kepada umum melalui dua bentuk perbelanjaan iaitu perbelanjaan mengurus dan perbelanjaan pembangunan. Secara ringkasnya, perbelanjaan mengurus merupakan perbelanjaan hangus yang perlu untuk kesinambungan segala perkhidmatan kerajaan yang sedia ada, manakala perbelanjaan pembangunan pula lebih merupakan perbelanjaan bagi menyokong kemampanan pertumbuhan ekonomi untuk terus tumbuh meliputi penyediaan infrastruktur, peningkatan teknologi dan peningkatan modal insan. Sebanyak RM215.2 Billion diperuntukkan bagi perbelanjaan mengurus dan RM50 Billion bagi perbelanjaan pembangunan. Selain itu, RM2 Billion diperuntukkan bagi perbelanjaan luar jangka yang mana penting untuk digunakan jika negara memerlukan dana bagi tujuan pembangunan yang mendesak atau pemulihan akibat bencana.

Anggaran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi tahun 2016 dijangka pada kadar 4.0 hingga 5.0% Peratus, lebih rendah jika dibandingkan KDNK bagi tahun 2015 iaitu pada kadar 4.5 hingga 5.5% Peratus. Anaggaran Defisit Fiskal bagi tahun 2016 adalah pada kadar 3.1% Peratus berbanding 2015 pada kadar 3.2% Peratus. Walau bagaimanapun, hasil negara dijangka meningkat pada tahun 2016 iaitu sebanyak RM225.7 Billion jika dibandingkan pada tahun 2015 sebanyak RM222.5 Billion.

Dalam Bajet 2016 terdapat 5 bidang fokus yang menjadi keutamaan kerajaan iaitu:

Fokus Pertama, Memperteguh Ketahanan Ekonomi Negara, meliputi kaedah merancakkan pelaburan domestic, mempergiatkan pasaran global, mempergiatkan perusahaan kecil dan sederhana, menambah baik infrastruktur, pengangkutan awam, telekomunikasi, infrastruktur luar Bandar, menggalakkan sektor pelancongan, memodenkan sektor pertanian dan memperkukuhkan eksport negara.

Fokus Kedua, meningkatkan produktiviti, inovasi dan teknologi hijau, melalui kaedah melonjakkan inovasi dan keusahawanan, mempertingkatkan penggunaan teknologi dan membudayakan teknologi hijau.

Fokus Ketiga, Mempersiaga modal insan, dilaksanakan dengan memantapkan sistem pendidikan Malaysia, meningkatkan penguasaan Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris, bantuan persekolahan dan makanan, menyelengara fasiliti pendidikan, memantapkan pengajian tinggi, mentransformasi latihan teknikal dan vokasional, memperkasa belia, komuniti dan NGO serta memperkuatkan kualiti tenaga kerja.

Fokus Keempat, Memperkasa Agenda Bumiputera, dengan strategi memperkasa Bumiputera dan memperhebatkan pembangunan di Sabah dan Sarawak.

Fokus Kelima yang terakhir, Meringankan kos sara hidup rakyat, melalui kaedah meningkatkan taraf isu rumah B40, membantu pesawah, pekebun kecil dan penoreh getah, menyediakan rumah mampu milik, perkhidmatan kesihatan berkualiti, memperkukuhkan sistem penyampaian sosial, pengurusan bencana, keselamatan dan ketenteraman awam, menghargai penjawat awam, penambaikkan BR1M, menambah pendapatan boleh guna M40, menaikkan caruman perkeso, menambah baik gaji minimum dan pemberian khas penjawat awam.

Jika kita perhalusi sebenarnya begitu banyak bantuan dan sokongan yang telah diberikan kepada masyarakat meliputi semua golongan pelbagai lapisan etnik, strata ekonomi dan sosial, serta tanpa mengira batasan demografi dalam proses pembangunan.

SOALAN 3

MENGAPAKAH BAJET 2016 INI DIKATAKAN BANYAK MEMBERI MANFAAT KEPADA GOLONGAN B40 DAN M40?

HURAIAN

Untuk menjawab persoalan ini, pertamanya para pendengar perlu memahami isitilah yang dimaksudkan berkaitan B40 dan M40. Berdasarkan Laporan Ekonomi 2015/2016 takrifan Kumpulan B40 merujuk isi rumah berpendapatan 40% Peratus terbawah dengan pendapatan bulanan sehingga RM3,855.00, manakala Kumpulan M40 pula merujuk kepada kumpulan isi rumah berpendapatan 40 peratus sederhana atau pertengahan dengan berpendapatan antara RM3,860 hingga RM8,319 sebulan.

Bajet 2016 jika dinilai intipatinya boleh disimpulkan sebagai bajet yang mesra kepada golongan berpendapatan rendah dan pertengahan selaras dengan tema “Mensejahterakan Kehidupan Rakyat”. Sebagai contoh misalnya, pemberian langsung Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) yang ditingkatkan. Isi rumah berpendapatan bulanan RM3,000 ke bawah, BR1M ditingkatkan kepada RM1,000 dan bagi isi rumah berpendapatan antara RM3,001 hingga RM4,000 sebulan akan menerima BR1M sebanyak RM800 daripada RM750. Untuk individu bujang umur 21 tahun ke atas berpendapatan bulanan RM2,000 ke bawah, bantuan BR1M ditingkatkan daripada RM350 kepada RM400. Harus diingat, BR1M hanya bersifat bantuan jangka pendek oleh kerajaan, yang juga sebahagian daripada jaringan sosial yang dilaksanakan oleh kerajaan dalam membantu golongan sasar.

Selain itu, banyak program jangka panjang bagi peningkatan ekonomi dirancang oleh kerajaan antaranya, peruntukan melalui TEKUN RM600 juta, SME Bank RM50 Juta, Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) RM200 juta, Institusi Latihan Kemahiran Swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) RM100 juta, Program Latihan Kemahiran & Kerjaya serta Program Peningkatan Pendapatan di bawah KKLW RM50 juta, Program kerjasama NGO & Institut Latihan Kemahiran Swasta RM100 juta  dan lain-lain serta kenaikan gaji minimum bagi sektor swasta dan kerajaan yang diharap dapat membantu golongan ini.

Bagi kelompok M40 mereka pasti bersyukur kerana kerajaan telah menaikkan had pelepasan cukai kepada RM 2,000 bagi setiap anak berumur di bawah 18 tahun, menaikkan had pelepasan cukai kepada RM 4,000 bagi pembayar cukai individu yang pasangannya tiada pendapatan, memperkenalkan pelepasan cukai terkumpul baharu RM 1,500 untuk ibu & RM 1,500 untuk bapa bagi meringankan kos saraan anak yang menyara ibu-bapa dengan syarat ibu dan bapa masing-masing tidak berpendapatan melebihi RM2,000 sebulan dan berumur 60 tahun ke atas, menaikkan had pelepasan cukai kepada RM 8,000 bagi setiap anak berumur 18 tahun ke atas yang sedang melanjutkan pengajian di institusi pengajian dalam dan luar negara dan menaikkan had pelepasan cukai bagi ibu bapa kepada anak OKU yang sedang melanjutkan pengajian di institusi pengajian dalam dan luar negara.

Dalam isu pemilikan rumah bagi golongan B40 dan M40, banyak rumah mampu milik akan dibina antaranya 175,000 unit Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) yang akan dijual pada 20 peratus di bawah harga pasaran iaitu 10,000 unit mulai tahun hadapan, 100,000 unit perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) berharga antara RM90,000 hingga RM300,000 mulai tahun 2018, selain pangsapuri KPKT, rumah teres PPR KPKT, rumah mampu milik SPNB dan Sime Darby serta perumahan generasi kedua FELDA, FELCRA dan RISDA yang nyata dibuat oleh kerajaan bagi kesejahteraan kedua-dua kelompok ini.

SOALAN 4

APAKAH KEWAJARAN BAGI KERAJAAN UNTUK MEMBERI PERHATIAN KEPADA GOLONGAN M40 SEDANGKAN MEREKA MERUPAKAN KELOMPOK YANG BERPENDAPATAN PERTENGAHAN DALAM STRATA EKONOMI MALAYSIA?

HURAIAN

Istimewa dalam pembentangan Bajet 2016, selain daripada penekanan yang diberikan oleh kerajaan untuk membangunkan ekonomi golongan B40 ke tingkat ekonomi pertengahan, kerajaan juga mengumumkan golongan sasaran baharu yang dinamakan M40. Seperti yang telah dijelaskan, M40 merujuk kepada kategori 40 peratus rakyat Malaysia yang berpendapatan sederhana atau pertengahan. Dalam konteks M40 ini, tidak dinafikan timbul persoalan kenapa golongan ini perlu dibantu sedangkan mereka ini bukanlah golongan berpendapatan rendah.

Bagi mereka yang mempersoalkan perkara ini, mereka mungkin terlupa  bahawa Malaysia sedang menuju ke arah negara maju, maka, setuju atau tidak, golongan M40 perlu dibantu untuk melonjakkan pendapatan mereka menjadi golongan berpendapatan tinggi. Dalam bajet-bajet terdahulu jarang sekali golongan ini diberikan penekanan oleh kerajaan berbanding mereka yang berpendapatan rendah sedangkan keperluan dan keadaan semasa sosio ekonomi negara memerlukan mereka dibantu dan penting juga untuk mencapai sasaran negara.

Dalam Bajet 2016 juga, kerajaan mengumumkan definisi golongan M40 akan dinilai dari masa ke semasa. Dengan inisistif yang dilaksanakan oleh kerajaan ini, golongan M40 seharusnya bersyukur kerana suara mereka didengari oleh kerajaan dan kerajaan memahami permasalahan yang dihadapi terutamanya dalam konteks ketidak tentuan ekonomi serta peningkatan kos sara hidup pada hari ini.

Jika dilihat dalam konteks kehidupan Bandar misalnya, dengan pendapatan isi rumah antara RM3,860 hingga RM8,319 sebulan golongan M40 boleh terkesan disebabkan kos sara hidup yang tinggi dan mengakibatkan jumlah pendapatan yang diterima walaupun dianggap selesa bagi kebanyakkan pihak, pada hakikatnya adalah tidak mencukupi atau sekadar cukup bagi menampung kehidupan di Bandar terutamanya jika melibatkan jumlah isi rumah yang ramai.

Kewajaran Golongan M40 juga dibantu untuk dilonjakkan kedalam kelompok berpendapatan tinggi atau lebih dikenali sebagai H20, adalah relavan dan wajar terutamanya apabila negara kita telah memasuki fasa akhir 5 tahun untuk mencapai wawasan 2020 dan melangkah ke arah negara maju berpendapatan tinggi. Realiti pada masa kini di Malaysia, golongan berpendapatan tinggi hanya 20% peratus daripada jumlah rakyat. Adakah dalam tempoh lima tahun akan datang kita masih mahu kekal di tahap ini? Sewajarnya, kita perlu mencapai tahap H50 atau berjaya mewujudkan 50% peratus masyarakat berpendapatan tinggi di negara kita untuk mewujudkan sebuah negara maju yang inklusif. Begitu juga dengan golongan B40. Kita seharusnya sedaya upaya meningkatkan taraf ekonomi golongan ini ke tahap pertengahan untuk mewujudkan masyarakat yang lebih berdaya saing, maju, progresif dan dapat menyelesaikan banyak permasalahan sosial dan ekonomi dalam masyarakat.

 

RUMUSAN  

AKHIR KATA, BAGI MENGAKHIRI SLOT KITA PADA PETANG INI, APAKAH RUMUSAN YANG BOLEH DIBUAT OLEH EN RAMLI BERKAITAN KUPASAN BAJET 2016?

HURAIAN

Pembentangan Bajet 2016, diharap telah menjawab segala persoalan, keluh kesah masyarakat di akar umbi, tanpa mengira latar belakang etnik dan sempadan geografi. Bajet ini jelas memberi manfaat dan meliputi semua kolempok masyarakat. Kerajaan telah berusaha menyediakan yang terbaik untuk rakyat, ia dibuat berdasarkan perhintungan keadaan semasa negara dan apa yang mampu dilakukan oleh negara terhadap kebajikan dan kesejahteraan rakyatnya. Ia bukan dibuat secara suka-suka diatas kertas semata-mata sebaliknya melibatnya pelbagai kumpulan task force dalam pelbagai sektor dan lapangan.

Perhatian dan tumpuan berterusan yang diberikan oleh kerajaan terhadap golongan B40 wajar digunakan dengan sebaik mungkin, perancangan yang hebat tanpa penglibatan golongan sasar maka adalah mustahil untuk mencapai kejayaan sasaran. Maka golongan B40 perlu meneliti setiap perincian yang telah disediakan oleh kerajaan dan menjadi peserta serta berusaha meningkatkan taraf hidup ekonomi ke tahap yang lebih tinggi.

Bagi kelompok M40, walaupun boleh dianggap stabil, kerajaan sedar, sebarang masalah melibatkan ekonomi atau krisis boleh menghasilkan U-Turn atau mendatangkan impak negatif kepada kehidupan golongan ini, dan kerajaan sedar golongan ini juga perlu dibantu untuk mencapai sasaran negara dalam konteks menjadi negara maju. Kerajaan akan mengkaji dari masa ke semasa bantuan dan sokongan kepada kelompok ini untuk bertahan dan berkembang dalam persekitaran ekonomi yang sememangnya mencabar.

Akhir kata, kita sebagai rakyat perlu melihat pembentangan bajet ini dari sudut positif, mengambil peluang diatas ruang-ruang pembangunan yang telah disediakan oleh kerajaan, bersyukur dan menghargai serta meneruskan sokongan supaya dasar-dasar semasa yang memberi kebaikan kepada kita dapat diteruskan.

Sekian, setakat ini perkongsian fikiran kita pada petang ini, semoga kupasan pada petang ini dapat memberi sedikit sebanyak maklumat dan informasi serta percabahan fikiran antara kita. Terima Kasih kepada Dj bertugas, Dj Ran. Sekian Wassalam.

 Sumber: Hapizi Bakri, UKOM Perak

 

 

TOP

Opsyen Kebolehcapaian

(Accessibility Options)
Warna Fon
Atau Pilih:
Saiz Fon
A- A A+

.