PENGURUSAN BENCANA

INTIPATI PROGRAM JASA DI RADIO PERAK FM BERKAITAN TAJUK PENGURUSAN BENCANA OLEH PUAN NORAZLIM BINTI YAZID (PEMBANTU PENERANGAN UKOM JASA PERAK)

SOALAN 1

Mengapakah pengetahuan berkaitan pengurusan bencana perlu difahami dan diamalkan dalam kehidupan komuniti masyarakat di Negara kita?

HURAIAN

  • Dalam konteks semasa, sama ada di peringkat negara, negeri atau daerah, tanpa mengira organisasi atau individu, keperluan memahami dan mempraktikkan amalan pengurusan bencana dalam kehidupan, amat perlu terutamanya apabila kita terdedah atau berada dalam situasi bencana.
  • Situasi bencana, merujuk kepada Definisi Bencana berdasarkan “Arahan Majlis Keselamatan Negara No. 20: Dasar dan Makanisme Pengurusan Bencana – Semakan 2012” Bencana didefinisikan sebagai “Suatu kejadian yang menyebabkan gangguan kepada aktiviti masyarakat dan urusan Negara, melibatkan kehilangan nyawa, kerosakan harta benda, kerugian ekonomi dan kemusnahan alam sekitar yang melangkaui kemampuan masyarakat untuk mengatasinya dan memerlukan tindakan penggemblengan sumber yang ekstensif”.
  • Dalam konteks Malaysia, banjir merupakan bencana yang sering melanda negara kita. Sejak tahun 1920, Malaysia telah mengalami banyak siri kejadian banjir besar umpamanya pada tahun 1926, 1963, 1965, 1967, 1969, 1971, 1973, 1979,1983, 1988, 1993, 1998, 2005, 2006, 2007 dan 2014. Kekerapan ini menunjukkan bahawa masyarakat perlu bersedia dengan segala kemungkinan dalam menghadapi bencana. Bencana yang berlaku jelas membawa kerugian besar bukan sahaja kepada harta benda dan nyawa manusia sebaliknya melibatkan impak ekonomi dan infrastruktur yang melibatkan langkah-langkah pemulihan yang panjang serta kos yang tinggi termasuklah kos operasi menyelamat mangsa, pemulihan kawasan dan projek pembangunan semula. Selain itu, masyarakat juga berdepan dengan rantaian kesan-kesan sampingan bencana, seperti penularan wabak penyakit berjangkit, kekurangan bekalan makanan dan kesan psikologi.
  • Oleh itu, sebagai anggota masyarakat adalah penting, bersiap sedia menghadapi bencana dan memahami prosedur yang telah ditetapkan oleh kerajaan dalam Arahan Majlis Keselamatan Negara No. 20: Dasar dan Makanisme Pengurusan Bencana – Semakan 2012 dan Prosedur Tetap Operasi Tindak Balas Menghadapi Banjir. Kedua-dua dokumen ini penting bagi kita dalam menghadapi situasi bencana kerana Arahan 20 MKN, telah menggariskan dengan jelas, Dasar dan Mekanisme Pengurusan Bencana secara menyeluruh meliputi peringkat sebelum, semasa dan selepas sesuatu kejadian Bencana meliputi peranan dan tanggungjawab Agensi Kerajaan, badan berkanun, pihak swasta dan badan-badan sukarela dalam pengurusan Bencana. Manakala, Prosedur Tetap Operasi Tindak Balas Menghadapi Banjir pula dikhaskan bagi tujuan pengurusan bencana banjir meliputi situasi sebelum, semasa dan selepas kejadian serta peranan setiap agensi yang terlibat.
  • Kesedaran dan pendidikan mengenai bencana yang seharusnya ada pada masyarakat bukan sahaja penting ketika masyarakat berdepan bencana, malah ia merupakan langkah penting yang perlu dipatuhi dalam usaha meminimumkan risiko bencana kepada masyarakat dan negara.

 SOALAN 2

 Apakah tindakan yang telah dilaksanakan oleh kerajaan dalam usaha memperkasakan pengurusan bencana negara?

 HURAIAN

  • Mengimbau kembali sejarah, Jemaah Menteri pada 18 Mei 1994 memutuskan mewujudkan  satu mekanisme pengurusan dan tindak balas Bencana dan pengurusannya diletakkan di bawah Majlis Keselamatan Negara, Jabatan Perdana Menteri (JPM) susulan daripada tragedi runtuhan Pangsapuri Highland Towers di Hulu Langat, Selangor pada 11 Disember 1993. Hasilnya, MKN telah mengeluarkan Arahan mengenai Dasar dan Mekanisme Pengurusan dan Bantuan Bencana Negara pada 11 Mei 1997 dan mewujudkan Bahagian Pengurusan Bencana di bawah MKN dan arahan ini telah disemak pada tahun 2012.
  • Bermula tahun 2015, berdasarkan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kasim, peranan MKN akan lebih menumpukan kepada soal keselamatan negara, manakala bagi tujuan pengurusan bencana, sebuah agensi baharu iaitu Agensi Pengurusan Bencana Negara (APBN) Jabatan Perdana Menteri (JPM)  ditubuhkan bagi menyelaras dan mengurus bantuan bencana dengan lebih teratur dan efektif.
  • Oleh itu, dalam memperkasakan pengurusan bencana negara, peranan yang dimainkan oleh MKN telah diambil alih oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (APBN). Agensi baru ini juga akan terus mengunapakai Arahan 20 MKN semakan 2012. Selain itu, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dari Kementerian Dalam Negeri (KDN) juga dipindahkan ke ABPN. Agensi-agensi lain yang terlibat secara langsung dalam pengurusan bencana seperti Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART), polis, bomba, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), dan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (RELA) akan terus terlibat dalam rangkaian tugas
  • Arahan MKN No. 20: Dasar dan Mekanisme Pengurusan Bencana Negara (Semakan 2012) akan terus digunapakai kerana masih bersesuaian dengan keadaan semasa dan telah menggariskan mekanisme pengurusan Bencana yang menyeluruh meliputi peringkat sebelum, semasa dan tindakan pemulihan selepas bencana berlaku.
  • Setiap agensi yang terlibat, bertanggungjawab melaksanakan peranan masing-masing selaras dengan Arahan ini serta peruntukan-peruntukan yang disebut di dalam Peraturan Tetap Operasi (PTO) pengendalian Bencana yang disediakan dari semasa ke semasa. Dengan adanya Arahan ini, Bencana dapat diurus dengan bersepadu, efektif dan terselaras serta dapat mengelak berlakunya sebarang pembaziran sumber, kekeliruan arahan, konflik tanggungjawab serta percanggahan atau pertindihan peranan semasa menangani suatu kejadian Bencana.

SOALAN 3

Dalam konteks semasa, terutamanya musim banjir (November hingga Mac), apakah tindakan yang sewajarnya dipraktikan oleh masyarakat dalam menghadapi bencana banjir?

 HURAIAN

  • Sebagai masyarakat yang prihatin, kita perlu memahami dan peka kepada sebarang perubahan terhadap persekitaran kehidupan. Kita perlu melakukan persediaan sebelum tercetusnya banjir, mengambil tindakan yang sewajarnya ketika bencana banjir melanda dan mematuhi prosedur selamat apabila pulang ke kawasan petempatan selepas bencana.

PERSEDIAAN SEBELUM BANJIR

  • Dapatkan maklumat berkaitan banjir di kawasan kediaman. Pastikan sistem amaran banjir dan dengar hebahan semasa yang disampaikan melalui radio, televisyen dan agensi-agensi kerajaan yang berkenaan serta tahu dimana Bilik-Bilik Gerakan Banjir Negeri atau Daerah yang berhampiran termasuk Pusat Pemindahan dan Pusat Bantuan Bencana. Periksa lubang air seperi longkang atau saluran najis, bersihkan halangan dan pastikan tertutup rapat supaya air banjir tidak masuk. Sediakan peralatan kecemasan dan bekalan makanan secukupnya. Pastikan seluruh ahli keluarga mengetahui cara-cara bertindak semasa kecemasan di rumah. Dalam musim hujan, pastikan telefon bimbit dalam keadaan baik dan bateri simpanan dicas secukupnya. Pindahkan perabut atau peralatan-peralatan lain yang mampu diselamatkan ke tempat yang selamat jika perlu dan letakkan dokumen penting di tempat yang selamat atau bawa bersama dalam bekas kalis air. Selain itu, tempatkan haiwan peliharaan di tempat selamat kerana haiwan tidak dbenarkan untuk dibawa ke pusat pemindahan atas sebab kebersihan dan kesihatan yang mana ramai terlepas pandang. Bukan hanya manusia tetapi haiwan peliharaan juga terjejas akibat bencana seperti banjir.

TINDAKAN KETIKA BANJIR

  • Jika banjir berlaku ketika di rumah, dengar pengumuman melalui radio, televisyen atau pihak tertentu dan bersedia dengan peralatan kecemasan untuk berpindah. Sebelum berpindah tutup semua suis bekalan elektrik dan air bersih di rumah. Apabila menerima arahan berpindah, segeralah berpindah ke pusat-pusat pemindahan yang telah disediakan. Sebaiknya berpindah awal sebelum banjir meningkat atau berpindah pada waktu siang kerana ianya lebih mudah dan selamat. Ikut laluan yang betul atau yang telah ditentukan, laluan singkat mungkin terhalang atau berbahaya seperti adanya longkang atau parit terbuka yang ditenggelami air.
  • Jika banjir terjadi ketika masih dalam kenderaan, jangan terus mengharungi kawasan banjir, seeloknya berpatah balik ke tempat yang selamat dan jika kenderaan terhenti, kunci kenderaan serta tinggalkan kenderaan tersebut dan pergilah ke tempat yang selamat.
  • Jika banjir berlaku ketika berada di luar rumah sebaiknya pergi ke tempat tinggi dan selamat. Elakkan dari melalui kawasan banjir, arus deras yang boleh menghanyutkan. Jangan sengaja bersiar-siar di kawasan banjir sama ada dengan sampan mahupun berjalan kaki. Jangan sentuh mana-mana kabel atau wayar yang jatuh. Awasi anak-anak, jangan biarkan bermain di longkang, sungai atau lombong dan elakkan dari terminum air banjir.

 TINDAKAN SELEPAS BANJIR

  • Dengar pengumuman melalui radio atau tunggu arahan pihak yang berkuasa, jangan kembali ke rumah sebelum dibenarkan atau sebelum keadaan benar-benar selamat. Beri bantuan kepada jiran atau orang kurang upaya (orang tua, kanak-kanak atau golongan istimewa). Periksa luaran rumah, lihat tanda-tanda rekahan atau mendapan kerana ianya mengkin tidak selamat. Jangan terus memasuki rumah yang masih dibanjiri air, amalkan sikap berhati-hati kerana banyak bahaya yang tersembunyi. Semasa memasuki rumah pakai kasut, periksa kerosakkan dinding, lantai, pintu, tingkap, siling dan plaster dinding yang mungkin rekah, lerai dan jatuh dan sebarang kehadiran binatang atau serangga berbisa Gunakan kayu untuk mengalihkan sebarang halangan yang bertaburan di lantai rumah.
  • Periksa paip saluran gas yang mungkin pecah atau bocor, wayar elektrik dan peralatan elektrik yang terendam di dalam air. Periksa kehadiran bahan-bahan mudah terbakar yang mungkin mengalir masuk semasa banjir (Minyak tanah, petrol, diesel dan sebagainya) tanpa disedari. Buang semua bahan-bahan makanan yang terendam terkena banjir termasuklah makanan tin dan paket. Periksa kerosakan tangki septik untuk mengelakkan bahaya biologi. Laporkan sebarang kerosakan kemudahan-kemudahan awam kepada pihak yang berkuasa dan buat laporan kepada JKM bagi mangsa yang tidak berpindah ke pusat pemindahan.

SOALAN 4

Apakah sikap yang seharusnya menjadi amalan para anggota masyarakat apabila ditempatkan di pusat-pusat penempatan sementara ketika bencana berlangsung?

HURAIAN

MENJAGA AKIDAH.

  • Ramai dari kalangan kita yang apabila ditimpa musibah banjir bertindak seperti tidak beragama. Ada yang mencela nasib, memaki hamun pada hujan dan banjir seolah-olah mempertikai perkara yang telah ditetapkan kepada kita diatas kekuasaan Allah SWT. Sebagai seorang Muslim beriman dan percaya pada Qada' dan Qadar, haruslah meyakini bahawa setiap perkara yang terjadi pada kita sama ada baik atau buruk, suka atau duka, kesenangan atau kesusahan, semuanya adalah ketentuan Allah SWT. Segala yang terjadi adalah ujian untuk melihat sejauh mana keimanan dan kesabaran kita. Allah SWT berfirman dalam Surah Al-Baqarah ayat  155-156 yang bermaksud:

“Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar: (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: "Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali."

  • Oleh itu, dalam menghadapi musibah banjir, kita hendaklah bersabar, meningkatkan amalan dan berdoa agar dipermudahkan segala urusan.

MENJAGA SOLAT

  • Kebanyakan antara kita sering memberi alasan untuk tidak menunaikan solat atau melengah-lengahkan solat. Islam telah mengajar kita agar menunaikan solat dalam keadaan apa sekalipun meskipun dalam keadaan sakit dan peperangan.

MENJAGA AURAT

  • Ramai juga antara kita yang mengambil mudah tentang aurat dalam menghadapi banjir. Sebagai contoh, air banjir setinggi betis, tetapi angkat seluar atau kain sampai nampak peha dan aurat terutamanya golongan wanita. Kepada mangsa banjir yang menetap di pusat-pusat pemindahan, rumah saudara mara, surau ataupun masjid, aurat dan adab-adab tertentu dalam berpakaian dan perhubungan harian hendaklah dijaga.

MEMBANTU DAN SALING TOLONG-MENOLONG

  • Allah SWT berfirman dalam surah al-Maidah ayat 2:

“Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan permusuhan”.

  • Bantu membantu sesama insan dan makhluk lain merupakan amalan mulia yang sangat dianjurkan dalam Islam. Dalam meringankan kesusahan mangsa banjir, kita perlu saling tolong-menolong membantu yang termampu dengan memberikan bantuan makanan, pakaian, tempat tinggal, tenaga sukarelawan, bantuan pembersihan dan sebagainya. Selain itu, bagi penghuni pusat pemindahan pula, ringan-ringankan tangan membantu sukarelawan yang datang membantu, memberikan kerjasama yang sewajarnya kerana kehadiran mereka adalah bagi tujuan membantu dan bergotong-royong bersama-sama dalam aktiviti.

TIDAK MENGAMBIL KESEMPATAN

  • Ada juga di kalangan kita yang suka mengambil kesempatan. Sudahlah tidak mahu menolong dan menghulurkan bantuan, sanggup pula mengambil kesempatan atas kesusahan orang lain. Ada yang sanggup mencuri barangan mangsa banjir di pusat pemindahan, memecah masuk rumah-rumah ataupun kedai-kedai dan mengambil barang-barang yang ditinggalkan mangsa banjir. Golongan peniaga pula ada yang mengambil kesempatan dengan menaikkan harga barang atau mengenakan caj perkhidmatan yang melampau dan tidak munasabah.

MENGUTAMAKAN KEBERSIHAN DAN KESIHATAN

  • Semasa di pusat pemindahan kita perlu menjaga kesihatan dengan sewajarnya. Pastikan minum air yang telah dimasak, makan makanan yang dimasak, elakkan memakan makanan mentah seperti sayur-sayuran yang belum dimasak dan ulam-ulaman, tudung semua makanan dan jangan makan makanan yang terdedah, jaga kebersihan diri dan kawasan sekeliling, basuh tangan sebelum makan dan selepas ke tandas, guna tandas yang sempurna, buang sampah di tempat yang betul dan dapatkan suntikan vaksin mengikut nasihat doctor.

RUMUSAN

Akhir kata, bagi mengakhiri slot kita pada petang ini, apakah rumusan yang boleh dibuat oleh Puan Norazlim Yazid berkaitan tajuk kita pada hari ini atau tambahan kepada penerangan yang telah diberikan?

Ingatan saya kepada para pendengar di luar sana, agar kita bersedia terutamanya bagi kawasan-kawasan yang pernah ditenggelami banjir. Monsun Timur Laut telah bermula pada awal November ini dan dijangka berakhir pada minggu kedua atau ketiga bulan Mac 2016. Semasa Monsun Timur Laut, analisis data Jabatan Meteorologi menjangkakan berlaku antara empat hingga lima episod hujan lebat monson sepanjang fasa ini. Oleh itu, berkemungkinan besar akan berlaku kejadian banjir berulang di kawasan yang mengalami banjir.

Dinasihatkan para anggota masyarakat, peka dengan situasi semasa, amalkan sikap ambil tahu berkaitan amaran atau laporan serta maklumat yang disebarkan oleh agensi yang sah dan maklumat yang sahih berkaitan keadaan banjir atau bencana yang berlaku berdekatan kita.

Elakkan sikap pentingkan diri sendiri dan tidak patuh pada arahan pihak berkuasa. Selain membahayakan diri dan keluarga, tindakan ini hanya mendatangkan masalah kepada banyak peringkat pengurusan operasi bencana jika keadaan menjadi di luar kawalan atau kritikal.

Sekian, perbincangan kita pada petang ini, terima kasih kepada para pendengar, Dj Ran dan RTM.  Semoga sesi pada petang ini dapat memberi manfaat berguna kepada kita bersama. Wassalam.

 Sumber : UKOM Perak 

TOP

Opsyen Kebolehcapaian

(Accessibility Options)
Warna Fon
Atau Pilih:
Saiz Fon
A- A A+

.