MAJLIS MENANDATANGANI MEMORANDUM PERSEFAHAMAN (MOU) PROGRAM PENGAJIAN MOD EKSEKUTIF ANTARA JABATAN HAL EHWAL KHAS (JASA) DAN UNIVERSITI UTARA MALAYSIA (UUM)

28 Jun 2016, Hotel Grand Seasons - Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) telah bersetuju untuk menjalin kerjasama dengan Pusat Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM) bagi melaksanakan program pengajian secara Mod Eksekutif kepada 140 orang pegawai JASA yang berminat untuk menyambung pelajaran. Program ini dirangka membabitkan penawaran program Ijazah Sarjana Muda (Pengurusan Hubungan Antarabangsa), Ijazah Sarjana (Pengajian Kenegaraan) dan Doktor Falsafah (Politik dan Hubungan Antarabangsa).

Justeru itu, bertempat di Dewan Avenue 15, Hotel Grand Seasons, Kuala Lumpur, satu majlis bagi menandatangani perjanjian (MoU) antara JASA dan UUM telah disempurnakan oleh YBhg. Ketua Pengarah JASA Malaysia , Datuk Dr. Mohd Puad Zarkashi bersama Naib Canselor UUM, Dato' Seri Dr. Mohamed Mustafa Ishak. Majlis turut dihadiri oleh Dato' Seri Haji Idris Jusoh, Menteri Pendidikan Tinggi bersama Senator Datuk Seri Panglima Dr. Mohd. Salleh, Tun Said Keruak, Menteri Komunikasi Dan Multimedia.

JASA telah mengenalpasti seramai 140 orang pegawai yang berminat untuk mengikuti program kerjasama sambung belajar. Daripada jumlah ini seramai 85 orang adalah mereka yang memohon pengajian Ijazah Sarjana dan Doktor Falsafah.

Program pengajian seumpama ini adalah kritikal kepada keperluan dan fungsi institusi seperti JASA kerana peranan khusus sebagai jentera Kerajaan yang terlibat memberi input dan mempengaruhi persepsi massa terhadap Kerajaan. Oleh yang demikian, JASA amat memerlukan pegawai penggerak yang berpendidikan tinggi dan berwibawa untuk menjayakan strategi dan program-program yang telah dirangka.

Perkembangan dunia semasa yang begitu cepat dan mencabar menuntut JASA untuk bersedia melalui pembinaan modal insan yang kompetitif dan berwibawa. Oleh yang demikian, usaha melengkap dan mempertingkatkan pengetahuan dan kepakaran pegawai-pegawai sedia ada adalah merupakan satu strategi tuntas untuk memenuhi objektif ini. Usaha melahirkan modal insan berpendidikan tinggi dalam kalangan pegawai JASA juga mampu untuk menggerakkan pembaharuan pemikiran ummah bagi menghadapi gelombang globalisasi dan teknologi maklumat yang sedang melanda seluruh dunia kini.

Selain itu, pegawai-pegawai JASA juga didedahkan secara khusus kepada ilmu berhubung teknik propaganda dan pemujukan (propaganda and persuasion) yang amat berkait rapat dengan fungsi JASA bagi mengekang manipulasi media dan maklumat oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab. Justeru, pegawai yang bakal mengikuti program ini diharap akan mampu membantu Kerajaan sesuai dengan kepakaran masing-masing.

Memetik dari akaun Facebook Ketua Pengarah JASA, beliau berkata "Hari ini dalam sejarah. MOU atara JASA-UUM disaksikan oleh YB DS Idris Jusoh Menteri KPT dan DSP Mohd Salleh Tun Said Keruak Menteri KKMM di Hotel Grand Season KL. Ini adalah MOU pendidikan tinggi untuk staf JASA di mana 7 orang akan mengambil bidang Phd, 78 orang Master Kenegaraan dan 55 orang Ijazah Sarjana Muda Hubungan Antarabangsa. Kuliah akan diadakan di Ibu pejabat JASA KL, Pejabat JASA JB dan Alor Setar. Hampir 70 peratus pelajar Phd dan Ijazah layak menerima bantuan pelajaran MyBrains yang diumumkan oleh PM. JASA diwakili oleh saya sendiri manakala UUM diwakili oleh Professor Datuk Seri Dr Mustafa Ishak Naib Canselor UUM. Semoga kredibiliti JASA sebagai "Leading Public Opinion" semakin terserlah".

TOP

Opsyen Kebolehcapaian

(Accessibility Options)
Warna Fon
Atau Pilih:
Saiz Fon
A- A A+

.