DOA UNTUK MALAYSIA , DOA KESEJAHTERAAN NEGARA

Oleh : Siti Aisah Binti Muharom, Unit Komunikasi Media JASA

13 OGOS, DATARAN MERDEKA : Program Doa Untuk Malaysia Di Dataran Merdeka mendapat sambutan yang baik dari umat Islam seluruh Negara. Program anjuran Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Kementerian Komunikasi Dan Multimedia Malaysia ini diadakan dengan kerjasama Yayasan Pendidikan Cheras (YPC), Dewan Bandar Raya Kuala Lumpur (DBKL) dan juga penyiar rasmi iaitu RTM. Program diadakan bersempena Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia Tahun 2016 yang masih mengekalkan tema MALAYSIA #SehatiSejiwa.

Pemilihan tema kemerdekaan pada tahun ini dilihat amat bersesuaian dalam melahirkan rakyat Malaysia yang cintakan Islam, cintakan rasul sekaligus mencintai keamanan dan kesejahteraan yang di kecapi oleh negara kita sepanjang 59 tahun kemerdekaan ini. Selain itu ia dilihat mampu menanamkan semangat patriotik yang tinggi dalam kalangan rakyat Malaysia selain melahirkan rakyat yang sentiasa bersyukur dengan nikmat kemerdekaan yang kita kecapi selama ini.

Justeru itu, penganjuran program seumpama ini diharapkan dapat menjadi wadah bagi  seluruh rakyat Malaysia agar terus berdoa demi keselamatan, kemakmuran dan kesejahteraan negara disamping mendapat rahmat dan perlindungan dari Ilahi.

Majlis dihadiri oleh Perdana Menteri Malaysia, Y.A.B. Dato' Sri Mohd. Najib Bin Tun Haji Abdul Razak, Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Dato' Seri Dr. Ahmad Zahid Bin Hamidi, Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, YB Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak, Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, serta beberapa menteri kabinet lain.

Program berbentuk kerohanian ini dilihat mampu mendidik umat Islam agar sentiasa menjadikan Rasulullah S.A.W sebagai idola dan mencontohi akhlak baginda melalui pengisian di dalam alunan selawat dan qasidah. Kita seharusnya berasa rendah diri dan sentiasa memohon kepada Allah S.W.T agar negara diberi kekuatan dalam menghadapi ujian-ujian besar.

Program dimulakan dengan alunan zikir seawal jam 7.00 petang diikuti solat maghrib secara berjemaah di Dataran Merdeka, Program kemudiannya diteruskan dengan solat Isya’ dan solat hajat secara berjemaah yang dipimpin oleh Sahibus Samahah Mufti Wilayah Persekutuan, Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri.

Ia seterusnya diikuti dengan bacaan “Doa Untuk Malaysia” oleh YBhg. Ustaz Asmawi Tuan Omar, Penolong Pengarah Bahagian Dakwah, JAKIM. Program kemudiannya diteruskan dengan alunan selawat dan qasidah oleh Habib Syech Abdul Kadir Assegaf dari Indonesia. Bacaan tausiyah pula dibacakan oleh Habib Ali Zaenal Abidin Abu Bakar Al-Hamid.

Program ini disiarkan secara langsung melalui penyiar rasmi iaitu RTM dan juga radio rasmi Nasional fm. Majlis seperti ini turut diadakan bagi penganut agama lain di Negara ini di tempat ibadat masing-masing sepanjang bulan kebangsaan ini. Program ini menjadi antara acara pembuka tirai kepada program-program kemerdekaan lain yang telah dirancang sepanjang bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia 2016.

 

TOP

Opsyen Kebolehcapaian

(Accessibility Options)
Warna Fon
Atau Pilih:
Saiz Fon
A- A A+

.