1 NOVEMBER 2016 - ZIARAH KASIH JASA DI KAMPUNG KUDEI BARU ULU, SARAWAK

IBU TERHARU ANAKNYA MENGHIDAP KANSER TERIMA KUNJUNGAN JASA 'ZIARAH KASIH'

1 NOVEMBER 2016, KUCHING – Seorang ibu yang anaknya merupakan Orang Kurang Upaya (OKU) berusia 6 tahun dan menghidap kanser terharu menerima kunjungan daripada rombangan Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) dalam Program Ziarah Kasih di Kampung Kudei Baru Ulu, petang semalam.

Menurut ibunya, anaknya Airel Damian anak Philip seorang yang tabah dan kental semangatnya biarpun kakinya terpaksa dipotong akibat kanser.

"Beliau seorang yang cekal semangatnya dan sentiasa berfikiran positif biarpun dengan keadaannya yang kekurangan.

"Untuk tidak berasa tersisih, Airel turut bersama kawan-kawannya bermain setiap petang biarpun ada ketikanya terpaksa memerhatikan sahaja jika dia tidak mampu untuk melakukannya," beritahu Lydia anak Payae semasa menerima kunjungan JASA yang diketuai Ketua Pengarah Datuk Dr. Haji Puad Zakarshi.

Selain Airel, keluarga Philip anak Lori turut menyara 7 orang ahli keluarga termasuk ibu dan bapanya yang sudah uzur biarpun hanya bekerja sebagai buruh kasar.

Dalam kunjungan Ziarah Kasih itu, seramai 5 orang penerima yang terdiri daripada OKU, ibu tunggal, bapa tunggal dan mereka yang menghidap penyakit serta yang kurang berkemampuan.

Turut menerima sumbangan Ziarah Kasih, Biku Empenit, 65 tahun yang menanggung dua orang cucu yang yatim piatu dan seorang anak lelaki berusia 37 tahun yang menghidap penyakit kemurungan.

Menurut Biku, beliau hanya menyara keluarga berbekalkan pendapatan daripada awang pencen suaminya sebanyak RM900 dan diakui tidak mencukupi dengan kos hidup di bandar Kuching ini.

Malah, beliau sebelum ini pernah cuba untuk mendapatkan bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat, tetapi tidak berjaya disebabkan beliau telah menerima pencen biarpun kadar itu tidak mampu untuk menampung kehidupan mereka sekeluarga.

Bagi penerima ketiga, Ivy anak Diatu, 36 tahun, beliau terpaksa berkorban menjaga seorang anak perempuan mereka yang berusia 16 tahun yang cacat sejak lahir.

Lebih malang lagi, beliau turut menjaga suaminya yang patah tulang belakang dan kini masih terlantar di hospital akibat ditimpa kemalangan selepas terjatuh dari bumbung ketika bekerja baru-baru ini.

Turut serta dalam rombongan Ziarah Kasih ialah Ketua Setiausaha Politik Kepada Ketua Menteri Abdullah bin Haji Saidol dan Pengarah JASA Sarawak Hassan bin Busu, Ketua Kaum Iban Sangi Abu dan beberapa orang penduduk kampung.

Penerimanya Ziarah Kasih seterusnya Michael Tigat anak Dagang, 47 tahun yang merupakan seorang OKU separuh badan dan disahkan lumpuh dari pinggang hingga ke kaki selepas terlibat dalam kemalangan 5 tahun lalu.

Beliau kini tinggal bersendirian sejak dua tahun lepas tanpa sebarang jagaan atau pemantauan dari ahli keluarganya.

Michael turut mendapat bantuan kebajikan sejak April 2016 sejumlah RM250 sebulan di samping bantuan daripada pihak Hope Place sebanyak dua atau tiga bulan sekali.

Penerima terakhir bagi program Ziarah Kasih ialah Mathew anak Singka, 43 tahun yang juga seorang OKU.

Biarpun menghadapi kemurungan, Mathew masih mampu menyara keluarga dengan menjual ikan-ikan segar dan sayur-sayuran dengan mengunakan motosikal beroda tiga.

Mathew turut mendapat bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat manakala isterinya bekerja sebagai Pekerja Am di Hospital Umum Sarawak.

TOP

Opsyen Kebolehcapaian

(Accessibility Options)
Warna Fon
Atau Pilih:
Saiz Fon
A- A A+

.