LAWATAN SEHATI SEJIWA BAKTI SISWA (PELAJAR USM) KE MELUAN

MELUAN - Seramai 20 orang mahasiswa pelbagai jurusan dari Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang hadir dan bersama menyertai rombongan Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Malaysia ke beberapa rumah panjang di dalam lawatan Sehati Sejiwa dan Bakti Siswa 2017 bermula pada 19 hingga 21 Mac.

Rombongan diketuai Ketua Pengarah JASA Dato' Dr Puad Zarkashi dan Pengarah JASA Sarawak Hassan bin Busu bersama pegawai dan staf JASA Sarawak serta mahasiswa-mahasiswa USM dan beberapa jabatan dan agensi kerajaan di Bahagian Sarikei.

Sebaik sahaja menjejak kaki di Bumi Kenyalang, mahasiswa USM yang merupakan kumpulan Karisma USM ini telah mengadakan program di Sekolah Kebangsaan (SK) Abang Ali bersama 120 murid-murid darjah 6 yang akan mengikuti peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR).

Mereka telah meluangkan masa selama hampir dua jam di dalam program motivasi singkat dalam menyerlahkan keyakinan diri murid-murid menghadapi UPSR.

Pada Isninnya, rombongan ini telah memulakan perjalanan ke Rh Gerasi, Nanga Ju dengan bertolak menggunakan 15 buah perahu panjang dari Pengakalan Ng Entabai, Julau pada sebelah pagi.

Rombongan telah bertolak pada jam 9 pagi menuju ke Rh Bajau, Rantau Kunyang bagi menghadiri perasmian Projek Sehati Sejiwa dengan JASA telah menyumbang projek jalan simen yang menghubungkan rumah panjang dan projek ini telah diadakan secara gotong-royong.

Selepas makan tengahari, rombongan telah bergerak ke Rh Gerasi, Nanga Ju bagi menghadiri perasmian Jalan Titi Kayu yang menghubungkan rumah panjang.

Mahasiswa USM turut mengadakan program Bakti Siswa di SK Ng Ju yang turut disaksikan Ketua Pengarah JASA dan dihadiri Guru Besar SK Nanga Ju.

Kumpulan mahasiswa dan rombongan JASA turut mengadakan Majlis Berandau pada sebelah malamnya di mana kesempatan ini telah digunakan sepenuhnya dalam mengenali dan memahami adat dan budaya masyarakat tempatan seperti tarian ngajat, makanan tempatan, kehidupan seharian dan sebagainya yang sebelum ini begitu asing di kalangan mereka ini.

Pada Selasa, rombongan telah meneruskan perjalanan di Rh Entili, Nanga Stusol, Rh Manding, Nanga Bayu dan Rh Tinting, Nanga Melop bagi menyempurnakan program Sehati Sejiwa.

Di Rh Entili Nanga Stusol, Ketua Pengarah JASA telah menyempurnakan perasmian projek 'Tile' untuk lantai rumah panjang, manakala di Rh Manding Nanga Bayu diadakan perasmian projek 'Atap Spendex' untuk rumah panjang.

Sebelum berhenti makan tengahari di Nanga Maong, kumpulan JASA dan mahasiswa USM ini telah melawat ke RhTinting, Nanga Melop bagi menyempurnakan perasmian projek Simen Berada.

Apa yang menarik dalam pelaksanaan projek-projek Sehati Sejiwa JASA ini di beberapa buah rumah panjang ialah kesemua projek ini diadakan dan dilaksanakan secara gotong-royong oleh penduduk rumah panjang berkenaan.

Projek-projek ini adalah janji JASA dan kerajaan yang telah dijanjikan pada 2015 dan telah dijayakan bagi kemudahan rakyat di kawasan pedalaman di DUN Meluan.

Kesemua peserta rombongan JASA bersama mahasiswa USM ini tiba di Pengkalan Nanga Entabai pada sebelah petangnya dan bergerak ke Lapangan Terbang Sibu untuk berangkat ke Kuala Lumpur sebelum meneruskan perjalanan ke Pulau Pinang.

Sumber: KLXpress

TOP

Opsyen Kebolehcapaian

(Accessibility Options)
Warna Fon
Atau Pilih:
Saiz Fon
A- A A+

.