KONVENSYEN KEBANGSAAN JASA 2017

25 Mei 2017- KONVENSYEN KEBANGSAAN JASA 2017 merupakan sebuah program yang dirangka bagi menghimpunkan warga JASA pelbagai peringkat dari seluruh Negara bagi memantapkan strategi, pendekatan baru dan program JASA dalam usaha mengekalkan kestabilan politik Negara. Program yang diadakan bermula 21 hingga 23 Mei 2017 ini telah dirasmikan oleh YB Dato' Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi , Timbalan Perdana Menteri Malaysia dan perasmian penutup pula disempurnakan oleh YB Datuk Jailani Johari, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia. Konvensyen pada kali ini menghimpunkan seramai 942 orang pegawai JASA yang bertugas di Parlimen dan DUN seluruh Negara

Ianya dilihat sebagai satu kaedah bagi JASA menyuntik semula semangat, kefahaman dan pengetahuan pegawai-pegawainya untuk berusaha lebih keras di setiap peringkat bagi mencapai matlamat yang digariskan. Konvensyen ini turut memberi penghargaan kepada pegawai-pegawai yang telah berkhidmat dengan cemerlang selain dijadikan wadah bagi memacu suntikan semangat kerja dan pengetahuan yang berganda bagi memacu Negara khususnya menuju TN50.

Dalam menghadapi cabaran era globalisasi yang semakin kompetetif pada hari ini, pegawai JASA perlu bersedia secara mental dan fizikal bagi menghadapi pelbagai cabaran baru. Cabaran-cabaran ini menuntut keperluan pegawai JASA untuk melengkapkan diri dengan pelbagai kemahiran, pendedahan, kualiti pemikiran serta sikap yang lebih baik, yang berupaya memberi ruang, sumber dan aspirasi baru dalam pelbagai aspek.

Bagi tujuan itu, JASA memerlukan hala tuju serta gerak kerja yang sentiasa relevan dengan perubahan masa dan keperluan semasa demi meyakinkan rakyat mengenai usaha kerajaan yang menerajui pemerintahan Negara. Di atas tujuan inilah Konvensyen Kebangsaan JASA dianjurkan.

Hal sedemikian sangat bersesuaian dengan Visi Jabatan dalam menyediakan perkhidmatan yang berkualiti kepada masyarakat ke arah menetapkan kesedaran, kefahaman, keyakinan dan menjamin masyarakat terus menyokong kerajaan melalui amalan politik yang sihat, telus dan bersih, bersesuaian dengan moto Memimpin Pendapat Rakyat “Leading Public Opinion”.

Pelbagai pengisian disusun dalam memastikan objektif Konvensyen tercapai. Antaranya termasuklah sesi dialog bersama Wakil Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) dan wakil Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) mengenai status pelantikan tetap dan kontrak , kemajuan kerjaya dan kebajikan pegawai semasa dan selepas perkhidmatan. Selain itu turut diadakan bengkel dan sesi pembentangan halatuju JASA. 

Dengan terlaksananya Konvensyen ini diharapkan para pegawai JASA akan menggunakan segala pengetahuan dan kemahiran yang ada untuk bekerja lebih kuat demi mencapai matlamat bersama.

 

TOP

Opsyen Kebolehcapaian

(Accessibility Options)
Warna Fon
Atau Pilih:
Saiz Fon
A- A A+

.