TRANSFORMASI NASIONAL 2050- RELEVAN ATAU TIDAK?

TRANSFORMASI NASIONAL 2050- RELEVAN ATAU TIDAK?

 

SOALAN 1

ADAKAH TN50 INI RELEVAN PADA MASA KINI ? HURAIKAN

Gagasan TN50 ini, merupakan satu lagi wawasan penting negara, sebagai kesinambungan kepada Wawasan 2020 yang bermula pada tahun 1991 dan akan berakhir dalam tempoh hanya 3 tahun dari sekarang. Oleh itu, TN50 atau Transformasi Nasional 2050 ini adalah penting, relavan dan amat signifikan serta kena pada masanya, dalam usaha kita untuk mengekalkan momentum pertumbuhan ekonomi dan pembangunan negara, meletakkan hala tuju dan aspirasi negara iaitu bagaimanakah nasib dan hala tuju kita selepas tahun 2020 iaitu dalam tempoh 30 tahun dari sekarang sehingga tahun 2050.

Oleh itu, kerajaan meletakkan TN50 sebagai agenda utama pada masa kini dan YAB Perdana Menteri telah memberi kepercayaan kepada Kementerian Belia dan Sukan di bawah kepimpinan Menterinya, YB Encik Khairy Jamaluddin untuk mengerakkan wacana dan dialog nasional yang melibatkan semua warganegara Malaysia melalui pelbagai platform contohnya, di institusi pengajian tinggi (IPT), sekolah, persatuan-persatuan belia serta membuka ruang di media-media sosial untuk generasi muda memberi pandangan bagi menzahirkan satu hala tuju negara yang datang dari rakyat, agar visi negara untuk sampai ke tahun 2050 benar-benar diwakili oleh suara dan aspirasi rakyat dan bukan sesuatu yang direka atau dicipta bagi kepentingan kerajaan semata.

Selain itu, kerelevanan pelaksanaan TN50 sebagai kesinambungan kepada wawasan sedia ada tidak seharusnya dipersoalkan. Asas kepada Transformasi Nasional telah dimulakan oleh kerajaan sejak tahun 2010, melalui pengenalan Dasar Tranformasi Nasional (DTN) di bawah kepimpinan Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato Seri Mohd Najib Tun Abd razak yang berlangsung dari tahun 2010 – 2020. Dasar ini adalah kesinambungan kepada dasar-dasar kerajaan terdahulu, bermula Dasar Ekonomi Baru (1971 – 1990), Dasar Pembangunan Nasional (1991 – 2000) dan Dasar Wawasan Nasional (2001 – 2010).

Melalui Dasar Transformasi Nasional ini, pelbagai bentuk transformasi telah diperkenalkan oleh kerajaan dalam usaha mewujudkan Good Governance dalam urus tadbir negara, contohnya melalui pelaksanaan Program Transformasi Kerajaan (GTP), Program Transformasi Ekonomi (ETP), Program Transformasi Sosial  dan Program Transformasi Politik bagi membolehkan Malaysia menjadi sebuah negara moden, progresif dan dapat dipacu ke arah mencapai wawasan kebangsaan, menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi, yang bukan hanya maju dari segi pembangunan material semata tetapi terjamin kesejahteraan kehidupan rakyat secara inklusif. Oleh itu, izinkan saya menekankan bahawa Transformasi Nasional TN50 ini adalah amat relavan sebagai panduan hala tuju negara di masa depan dan sebagai pengerak transformasi negara dalam menghadapi cabaran semasa dan mendatang kepada negara.

SOALAN 2

Apabila Dasar Transformasi Nasional 2050 ini diumumkan, ada suara-suara yang mengatakan apa yang ingin dilaksanakan oleh kerajaan ini adalah bertujuan menghapuskan legasi kepimpinan terdahulu. Apa komen Tuan berkaitan pandangan ini dan apakah perkara-perkara asas yang perlu diambil kira dalam wacana nasional Tranformasi Nasional ini?

Isu berkaitan terhapusnya legasi kepimpinan terdahulu tidak seharusnya timbul. Apa yang telah dibangunkan akan kekal dalam lipatan sejarah negara, dan apa yang penting adalah, apakah yang akan diteruskan bagi mengekal dan membangunkan lagi legasi yang telah atau bakal berlalu tersebut, ke arah yang lebih baik untuk kebaikan negara dan rakyat keseluruhannya di masa depan. Oleh itu, Transformasi Nasional atau TN50 ini seharusnya dinilai secara positif oleh keseluruhan rakyat. Ini bukan soal perbezaan politik atau kepentingan, ia adalah berkaitan survival masa depan negara, survival kita dan anak-anak kita yang bakal melaluinya.

Kerajaan yang ada pada hari ini sedar akan tanggung jawab untuk mewariskan negara dalam keadaan terbaik kepada generasi seterusnya. Oleh itu, kita sebagai ibu bapa yang ada pada hari ini perlu peka kepada persekitaran kita, mengikuti wacana nasional berkaitan Transformasi Nasional ini secara aktif dan positif supaya segala input dapat diberikan kepada kerajaan jika benar kita  mengambil berat kelangsungan masa depan generasi pewaris kita dikemudian hari.

Dalam wacana nasional berkaitan Transformasi Nasional ini, boleh saya katakan, apabila melibatkan dasar yang panjang dan mempengaruhi bagaimanakah rupa negara dan rakyat negara ini di masa depan, maka wacana ini akan melibatkan diskusi yang pelbagai meliputi segenap bidang yang menyentuh kehidupan kita yang bukan sahaja pada hari ini tetapi meliputi apa yang telah lepas sebagai sejarah dan panduan serta apakah jangkaan di masa akan datang. Inilah cabaran kepada kita untuk memperhalusinya dan kerana ini jugalah, kerajaan amat menekankan kepentingan mendapatkan pandangan daripada akar umbi supaya segala pelaksaannya memberi manfaat kepada rakyat terbanyak.

Pada pandangan saya, asas-asas yang tidak boleh kita tinggalkan adalah asas kepada bagaimana negara ini dibentuk iaitu dengan merujuk kepada Perlembagaan Persekutuan sebagai sebahagian daripada Kontrak Sosial kehidupan bermasyarakat dan bernegara di Malaysia. Ini merupakan perkara asas yang tidak boleh dilupakan atau dipertikaikan, kerana inilah asas yang mewujudkan negara ini dan mempengaruhi setiap dasar serta kehidupan kita sebagai warganegara Malaysia yang ada pada hari ini.

Selain itu, hala tuju Transformasi Nasional juga adalah dengan melihat dimana kita pada hari ini. Adakah apa yang telah dihasratkan oleh wawasan negara yang terdahulu telah tercapai atau belum dan sejauhmanakah kita sebagai rakyat sedar dan peka serta dapat mengatasi 9 cabaran dalam Wawasan 2020 seperti apa yang disampaikan dalam The Way Forward pada 28 Febuari 1991 terdahulu, dalam kita melangkah ke arah negara maju, hanya berbaki 3 tahun lagi 

Kita juga perlu melihat ke hadapan, menjangkakan apa yang bakal berlaku dan ini memerlukan kajian ilmiah dan ilmu pengetahuan dan pembacaan yang mendalam. Segala tindakan dan hala tuju dasar kita perlulah selari dengan jangkaan perubahan semasa dunia. Terdapat pelbagai cabaran perlu dihadapi ada yang boleh dijangka dan ada yang berlaku diluar jangkauan dan kawalan. Tetapi sebagai manusia biasa, kita perlu bersedia menyediakan diri atau generasi kita untuk kehidupan mendatang yang sentiasa dipenuhi cabaran dalam memperoleh kesejahteraan kehidupan dunia dan akhirat dengan menjadikan sejarah sebagai panduan kehidupan dalam kita mencipta kemajuan masa depan.

Pada tahun ini jumlah penduduk Malaysia dianggarkan 31.7 juta orang iaitu meningkat sebanyak 0.5 juta berbanding 31.2 juta orang pada tahun 2015. Cuba para pendengar bayangkan, pada tahun 2050 jangkaan jumlah penduduk Malaysia bakal meningkat kepada 50 juta orang berbanding ketika tahun 1991, penduduk di negara ini hanya berjumlah 18.5 juta orang.  Angka-angka ini mengambarkan kepada kita pertambahan jumlah penduduk dalam skala yang cukup besar dan kerajaan yang ada pada hari ini perlu memikirkan bagaimanakah hala tuju negara ini dalam mempersiapkan negara dan rakyat dari pelbagai sudut kehidupan supaya kualiti kehidupan rakyat terjamin sesuai dengan peredaran dunia pada ketika itu dan bagi mengelakkan masalah sosial dalam komuniti masyarakat.

Pertambahan penduduk sebanyak ini semestinya mengubah demografi kependudukan negara secara dramatik. Majoriti penduduk bukan sahaja di Malaysia tetapi dalam konteks global akan tinggal di kawasan bandar dengan melebarnya proses perbandaran sejajar dengan kemajuan teknologi. Bill Mitchell, Mantan Pengerusi MIT's Smart Cities Research Group berpendapat bandar-bandar di masa akan datang tidaklah kelihatan seperti mana fantasi sains fiksyen tetapi kemajuan teknologi dan maklumat pada ketika itu pasti akan mengubah kehidupan kita dengan lebih dramatik sebagaimana apa yang kita hadapi melalui impak teknologi internet pada hari ini dan akan semakin meningkatnya keterbukaan maklumat.

Selain itu, pertumbuhan penduduk dan proses urbanisasi perbandaran akan meningkatkan lagi permintaan terhadap sumber alam. Dalam konteks global, dijangka penggunaan sumber asli dan alam dianggarkan meningkat lebih 2/3 (dua pertiga) berbanding apa yang digunakan oleh manusia pada hari ini. Keadaan ini pasti akan meningkatkan lagi persaingan untuk hidup, survival masyarakat dalam sesebuah negara ditambah lagi dengan perubahan iklim dunia kesan daripada proses perindustrian dan aktiviti manusia dalam tempoh masa yang panjang. Oleh itu, kerajaan yang ada pada hari ini, terpaksa memikirkan pelbagai strategi yang bersesuaian bagi memastikan apa sahaja dasar dan tindakan pada hari ini dapat menampung kapasiti negara pada masa akan datang dan dalam konteks global, pembangunan dunia tidak boleh melebihi “carrying capacity “ bumi ini. Inilah yang dikatakan berat mata memandang, siapa yang tahu berat lagi bahu memikul. Membangkang mudah, tetapi adakah mampu jika diminta untuk menjayakannya.

Contoh yang paling mudah dan dekat dengan kita, contohnya keperluan kepada makanan. Mungkin ada menganggap isu atau saranan kerajaan untuk rakyat melibatkan diri dalam industri agromakanan sebagai remeh atau tak penting. Hakikatnya, peningkatan populasi manusia kepada 9 billion orang di dunia, menyebabkan peningkatan permintaan makanan dimana menjelang 2050, dunia memerlukan tambahan 100 juta tan bagi ikan, 200 juta tan daging dan memerlukan 3 billion tan bijirin bagi menampung keperluan penduduk dunia pada tahun 2050 dan penggunaan air bersih juga akan meningkat sebanyak 64 billion meter padu setahun mengikut pertumbuhan penduduk dunia iaitu sebanyak 80 juta orang setahun. Oleh itu, sumber bukan sahaja dalam sesebuah negara tetapi global perlu diuruskan dengan baik supaya dapat menampung kehidupan masa depan. Saya ambil contoh isu perikanan, ikan, krustasia, moluska dan hidupan laut lain dikategori sebagai sumber yang boleh diperbaharui. Tetapi sumber ini boleh pupus melalui aktiviti lampau-tuai dan banyak kawasan didunia telah mengalaminya, sehingga berlaku kekurangan ikan dan kapal-kapal terpaksa mencari ikan hingga ke laut dalam. Ini hanya cebisan isu tetapi hakikatnya, pelbagai lagi isu dan cabaran dalam pelbagai sektor perlu diberikan perhatian dalam usaha kita melangkah kehadapan dalam menjayakan Transformasi Nasional 2050.

Prasyarat utama dalam menjayakan aspirasi Transformasi Nasional 2050 adalah rakyat tanpa mengira kaum dan kawasan di negara ini, menikmati keadilan ekonomi dan sosial secara adil dan seksama dalam proses pembangunan. Adalah penting 50 juta rakyat Malaysia yang akan hidup dalam tahun 2050 menikmati kesan pembangunan dari implimentasi dasar negara agar kestabilan berterusan dapat diwujudkan di negara ini. Oleh itu, seruan kerajaan untuk rakyat terlibat secara positif dalam wacana nasional Transformasi Nasional TN50, harus digunakan sebaik mungkin sebagai platform untuk menyuarakan pendapat, menyumbang idea positif dan matang bagi mempengaruhi dasar kerajaan, agar pembangunan yang dilaksanakan bertunjangkan aspirasi rakyat. Dunia hari ini menuntut kepada kebijakan dalam memberi dan menyampaikan pendapat serta menganalisis isu dan fakta agar kita tidak terpesong oleh persepsi yang salah. Untuk maju ke hadapan adalah penting mempraktikan budaya pemikiran yang matang dalam menentukan hala tuju di masa depan. 

Kerajaan sedar, pembangunan negara dari segi material semata tidak akan memberi impak positif kepada kestabilan, jika rakyat sebagai penerima impak pembangunan terabai dan boleh mengakibatkan masalah sosial yang menggugat perpaduan. Sejarah dahulu seperti 13 Mei 1969 telah mengajar kita. Yang Di-Pertuan Agong ke-14, Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah Ibni Al-Marhum Sultan Badlishah dalam titahnya, telah mengingatkan kita berkaitan perpaduan “satu perkara yang amat berharga kepada negara ini dan tidak boleh dijual beli yakni perpaduan dan berharap semua pihak sedar kepentingan untuk memelihara ke­satuan dan perpaduan kerana, jika yang genting menjadi belah dan retak menjadi putus, segalanya yang terbina selama 60 tahun, akan hancur binasa dan tidak ada ertinya dan visi Transformasi Nasional 2050 amat besar ertinya kepada hari muka tanah air kita”. Oleh itu, kita sebagai rakyat harus mengambil iktibar dari pesanan ini.

Sedarlah, Malaysia sangat istimewa jika dibandingkan dengan negara lain dengan kombinasi komuniti yang pelbagai termasuk latar belakang yang berbeza meliputi adat, budaya, keturunan, bahasa dan agama. Kepelbagaian inilah yang membuatkan Malaysia dipandang oleh masyarakat antarabangsa dan kita harus sedar kemakmuran ini merupakan hasil daripada satu proses sejarah yang panjang untuk membentuk satu bangsa Malaysia yang bersatu padu. Jaringan yang erat perlu terus wujud melalui hubungan bersemuka dalam pelbagai sektor dan ciri kepelbagaian dalam kalangan rakyat negara ini adalah aset dan elemen unik yang perlu kita pelihara. Jika kita melihat perbezaan itu sebagai sesuatu yang berharga, pasti kita akan mempertahankannya dan keamanan serta kesejahteraan tidak akan tercapai selagi wujud golongan ekstremis yang sentiasa cuba memecah belahkan masyarakat dan negara.

 SUMBER : JASA DIRADIO-PERAK

TOP

Opsyen Kebolehcapaian

(Accessibility Options)
Warna Fon
Atau Pilih:
Saiz Fon
A- A A+

.