KUALA LUMPUR 2 Jun - Kerajaan akan membentangkan usul khas di Dewan Rakyat pada Isnin ini bagi mengecam pencabulan hak asasi dan keganasan tentera Israel terhadap konvoi kapal yang membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pembentangan usul berkenaan akan dilakukan beliau sendiri bagi pihak kerajaan.
"Ini merupakan satu keputusan yang dibuat Kabinet hari ini dan saya akan membawa usul tersebut pada (hari pertama sidang Dewan Rakyat) Isnin ini.
"Ia bagi menunjukkan Parlimen Malaysia yang mewakili 28 juta rakyat menyatakan pendirian tegas secara sebulat suara sebab saya percaya parti pembangkang akan menyokong usul yang akan dibentangkan itu," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mengadakan tinjauan mesra di Balai Polis Sea Park, SS2 dan kawasan sekitarnya di sini hari ini.
Pada 12 Januari tahun lalu, Malaysia pernah menunjukkan keprihatinan kepada nasib rakyat Palestin dengan mengadakan sidang khas Dewan Rakyat bagi mengutuk kekejaman rejim Zionis di Gaza.
Dua hari lalu, tentera Israel bertindak menyerang konvoi kapal yang membawa bantuan kemanusiaan antarabangsa ke Gaza
Seramai 12 rakyat Malaysia termasuk dua krew Astro Awani yang berada dalam kapal Turki, 'Mavi Marmara' terselamat dalam serangan yang meragut nyawa beberapa sukarelawan antarabangsa lain.
Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman berlepas ke Jordan pagi ini untuk mengusahakan pembebasan semua rakyat Malaysia yang kini dilaporkan sudah selamat tiba di Jordan.








