Oleh: Azuraini Bt Abd Majid, Unit Komunikasi Media.
SHAH ALAM, SELANGOR - Pada 23 Jun 2011 yang lalu, satu program Bina 1Malaysia: Seminar Rapat 1Malaysia- Transformasi Pendidikan telah diadakan di Dewan Serbaguna SIRIM, Shah Alam Selangor. Program ini adalah anjuran bersama Jabatan Hal Ehwal Khas dan Institut Perkembangan Minda (INMIND) yang mana telah dirasmikan oleh Yang Berhormat Datuk Ahmad Maslan, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Turut hadir pada program ini adalah Y.Bhg Dato’ Salamon Bin Selamat, Pengerusi Ahli Majlis Pengarah INMIND dan Y.Bhg Dato’ Abdul Ghafar Bin Mahmud, Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia.
Antara penceramah yang telah menyumbangkan idea dan berkongsi rasa adalah Y.Bhg Dato’ Fuad Bin Tan Sri Hassan, Ketua Pengarah JASA, Yang Berhormat Dato’ S. Siva Subramaniam, Pakar Rujuk Jawatankuasa Kabinet Masyarakat India Jabatan Perdana Menteri, Y.Bhg Encik Ahmad Masrizal Bin Muhamad, Pensyarah Kanan Institut Aminuddin Baki, dan Y.Bhg Puan Pek Choon Moy Kim, Setiausaha Kehormat Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) Cawangan Selangor. Sasaran program ini adalah seluruh warga pendidik Negeri Selangor yang mana jumlah kehadiran adalah dianggarkan sebanyak 1000 orang. Pengisian program ini adalah Ceramah Gagasan 1Malaysia dan Transformasi Pendidikan serta dialog. Antara isu yang dibangkitkan adalah perjuangan dan cabaran guru untuk mendidik anak bangsa serta pentingnya perpaduan kaum demi kestabilan negara.
Secara keseluruhannya, program ini berjaya memberi input yang baik kepada para peserta untuk lebih memahami fahaman dan nilai-nilai gagasan 1Malaysia. Sambutan yang begitu menggalakkan dari para guru yang terdiri daripada pelbagai lapisan kaum cukup jelas menggambarkan mereka begitu komited untuk merealisasikan gagasan 1Malaysia ini seterusnya dapat diaplikasikan dapat tugasan seharian bagi memantapkan lagi proses pembelajaran dan pengajaran disekolah dalam mentransformasikan sektor pendidikan. Ini penting bagi melahirkan generasi masa depan yang lebih berdaya saing, jati diri yang kukuh dan berpegang teguh kepada ajaran agama serta nilai sejagat.
SUMBER : BAHAGIAN PERANCANGAN STRATEGIK DAN PENYELIDIKAN

Para guru sedang tekun mendengar ceramah Gagasan 1Malaysia

Dato’ Fuad Tan Sri Hassan, Ketua Pengarah JASA sedang menyampaikan ceramah bertajuk “1Malaysia Membentuk Masyarakat Madani”

Sesi forum bertajuk “1Malaysia: Memahami Cabarannya Dalam Transformasi Pendidikan” yang disampaikan oleh tiga pakar dalam bidang pendidikan

YB Datuk Ahmad Maslan selaku penceramah dan perasmi Program Rapat 1Malaysia: Transformasi Pendidikan


























