Oleh : Siti Aisah Binti Muharom
Unit Komunikasi Media JASA
16 Jun 2012 – Pesta Kaamatan (Tadau Kaamatan) atau di dalam bahasa Kadazan "Magavau" merupakan upacara perayaan khas untuk menghormati "Bambazon" iaitu semangat padi. Perayaan ini adalah amalan secara tradisi Kaum Kadazan-Dusun sejak zaman berzaman. Perayaan "Magavau" ini biasanya diadakan selepas selesai menuai padi. (sumber :Wikipedia)
Bagi menyemarakkan sambutan Pesta Kaamatan 2012 pada tahun ini, Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan dengan kerjasama jabatan serta agensi di bawahnya termasuklah Kerajaan Negeri Sabah telah memilih kawasan pendalaman sebagai tempat berlangsung sambutan tersebut sebagai menyahut seruan Gagasan 1Malaysia: Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan.
Tidak seperti kebiasaannya ,sambutan kerap diadakan di Kota Kinabalu, tetapi pada tahun ini sambutan Pesta Kaamatan negeri Sabah telah diadakan di kawasan pendalaman iaitu di Keningau, Sabah bertujuan mendekati rakyat di pendalaman serta memberi peluang rakyat di pendalaman merasai sendiri sambutan yang penuh bersejarah ini.
YAB. Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Najib Tun Razak bersama isteri turut hadir bagi memeriahkan program sekaligus menyempurnakan perasmian program tersebut. Selain itu, Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Dato’ Seri Utama Dr. Rais Yatim juga turut hadir bersama isteri bagi memeriahkan lagi sambutan pesta tersebut.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran artis-artis terkenal seperti Faizal Tahir, Kumpulan Fabulous Cat, Nash dan Jimmy Palikat serta artis tempatan. Selain persembahan artis, majlis turut diserikan dengan persembahan tarian dan juga pertandingan ratu cantik atau lebih dikenali sebagai “Unduk Ngadau”.
Justeru itu, Jabatan Hal Ehwal Khas melalui Unit Komunikasi Media (UKOM) turut bersama-sama menyemarakkan lagi Pesta Kaamatan dengan mengadakan pameran yang khususnya dibuat bagi memberi penjelasan mengenai Program Prihatin 1Malaysia yang dijalankan di Negeri Di Bawah Bayu tersebut.
Pameran pada kali ini memfokuskan mengenai bangunan komuniti yang telah di dibaikpulih seperti balai raya, surau dan gereja. Selain itu juga turut dipamerkan gambar rumah-rumah yang akan dibaikpulih di kawasan tersebut. Semua kerja baik pulih ini diadakan secara gotong-royong dan merupakan salah satu daripada pengisian utama Program Prihatin 1Malaysia.
Selain pameran , JASA juga telah menjalankan soal selidik kepada masyarakat yang rata-ratanya penduduk pendalaman untuk mengetahui permasalahan yang dihadapi mereka. YAB Perdana Menteri turut berkesempatan mengunjungi gerai pameran yang diadakan termasuklah gerai JASA dengan diiringi Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas, Dato’ Fuad Bin Tan Sri Hassan.
Lebih 5,000 pengunjung telah mengunjungi gerai pameran JASA pada kali ini dan secara kesimpulannya pameran telah berjaya mencapai matlamatnya dan akan diteruskan pada masa-masa akan datang.









