Menjelang detik-detik tengah hari 12 Disember 2011 akan berakhirlah tempoh perkhidmatan dan pemerintahan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong (YDA) ke 13, Al-Watiqu Billah Tuanku Mizan Zainal Abidin Ibni Al-Marhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah. Pada tanggal itu tamatlah tempoh pemerintahan Baginda selaku Raja Berperlembagaan yang dilunaskan melalui kuat kuasa Perlembagaan Persekutuan. Perkara 32(3) Perlembagaan Persekutuan menetapkan “Yang di-Pertuan Agong hendaklah dipilih oleh Majlis Raja-Raja selama tempoh jawatan lima (5) tahun…” kecuali Baginda meletakkan jawatan pada bila-bila masa dalam tempoh tersebut.
Baginda dan Seri Paduka Baginda Permaisuri Agong akan bersama dalam suatu majlis perpisahan khas jam 8.30 pagi 12 Disember yang penuh adat-istiadat di pekarangan Parlimen dengan Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Menteri-Menteri Kabinet, para pegawai tinggi dan pembesar-pembesar tempatan dan wakil-wakil luar negara sebelum berlepas ke Kompleks Bunga Raya KLIA untuk bersama-sama melibatkan diri di majlis akhiran yang diberi nama Lambaian Kasih. Majlis di KLIA ini adalah seperti yang pernah dianjurkan oleh Kementerian Kebudayaan Kesenian dan Warisan (KEKKWA) lima tahun lalu. Acara kali ini, seperti yang dahulu, disulami acara-acara padat dengan intisari budaya dan ciri-ciri kebesaran Di-Raja Melayu lama.
Sepanjang 2 bulan lalu pelbagai kegiatan dan acara diadakan bagi menandakan tamat tempoh perkhidmatan dan pemerintahan YDA sebagai Ketua Utama Bagi Persekutuan. Lawatan-lawatan rasmi, acara-acara kebajikan, konsert Di-Raja, Jamuan Negara dan lain-lain program Di-Raja mendahului acara-acara akhiran 12 Disember 2011. Sebelum jam 12 tengah hari 12 Disember nanti, YDA ke 13 dengan diiringi pelbagai kumpulan termasuk seorang Menteri Kabinet dan seorang pegawai tinggi perkhidmatan awam akan menaiki pesawat khas mengiringi rombongan pulang Tuanku Mizan dan Tuanku Nur Zahirah menuju ke Kuala Terengganu.
Keesokannya, tanggal 13 Disember 2011 dari Alor Setar pesawat penerbangan khas akan membawa YDA ke-14 AL-Sultan Al-Mu’tasimu Billah Muhibuddin Tuanku Al-Haj Abdul Halim mU’azam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah (Sultan Kedah) ke kompleks Bunga Raya, KLIA dan seterusnya akan menyempurnakan acara istiadat angkat sumpah jawatan sebagai Seri Paduka YDA ke-14 di Istana Negara yang baru di Jalan Duta.
Bagi Tuanku Abdul Halim, ini adalah kali kedua Baginda naik takhta bersemayam sebagai YDA bagi Persekutuan Malaysia. Kali pertama Baginda bersemayam sebagai YDA ke-5 ialah bagi tempoh 21 September 1970 hingga 20 September 1975. Mungkin ramai yang masih ingat, Perdana Menteri Malaysia Pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj meletakkan jawatan pada 21 September 1970, iaitu pada tarikh yang sama kemenakannya Tuanku Abdul Halim naik takhta selaku YDA ke-5. Ramai pihak yang mengakui bahawa persamaan tarikh sedemikian adalah atas permintaan Tunku sendiri, lebih-lebih lagi mengambil kira sentimen beliau mendapati anak buahnya sendiri dipilih menjadi YDA selain perkembangan politik dan isu-isu kenegaraan pada masa itu susulan peristiwa-peristiwa selepas 13 Mei 1969.
Bak kata pepatah, sekali air bah sekali pantai berubah. Cuma dalam konteks kenegaraan, perubahan itu hanya pada “pasir dipantai”, bukan pada pantai itu sendiri. Berlakunya perubahan hanyalah pada individu Di-Raja yang bersemayam sebagai YDA yang ke-14. Semua kuasa eksekutif, legislatif dan kehakiman yang ada pada YDA itu adalah berlandaskan Perlembagaan Persekutuan yang berkuat kuasa semenjak 1957, yakni semenjak Merdeka lagi. Pada 1963 manakala Malaysia tertubuh kuasa-kuasa YDA itu tetap berterusan dengan beberapa ubahsuai yang dipadankan dengan perkembangan semasa, termasuk peristiwa-peristiwa pra-1993 apabila beberapa artikel Perlembagaan Persekutuan dipinda. Salah satu daripada pindan utama yang dikuatkuasakan 1993-1994 ialah bahawa seseorang YDA boleh disabitkan di muka pengadilan Mahkamah Khas [Per. 181(2)] jika melakukan sesuatu kesalahan jenayah atau sivil dengan syarat Peguam Negara membenarkannya.
YDA sebagai Raja Berperlembagaan memikul tanggungjawab yang berat dan luas serta mempunyai implikasi mendalam sama ada terhadap rakyat atau kerajaan yang ditadbir atas nama Seri Paduka Baginda selaku Ketua Utama Negara yang menduduki tangga teratas dalam hierarki pemerintahan negara. Per. 32(2) memperuntukkan bahawa isteri YDA, Seri Paduka Raja Permaisuri Agong (RPA) menduduki tempat kedua selepas YDA. Baginda RPA dan mana-mana Sultan yang bersemayam juga menerima beberapa lindungan kekebalan perundangan walaupun tidak seperti dahulunya. Harus diimbasi, pra-1993 pihak-pihak Di-Raja beroleh perlindungan kekebalan undang-undang daripada mana-mana pendakwaan atau tuntutan sivil.
Timbalan YDA yang dilantik oleh Majlis Raja-Raja mengikut kehendak Per. 33 bolehlah menjalankan tugas-tugas YDA pada mana-mana tempoh yang diperlukan mengikut kehendak peruntukan tersebut dengan syarat apa-apa tugas wakilan YDA, seperti sakit, tidak upaya, tidak ada dalam Persekutuan yang tidak kurang daripada 15 hari atau lantaran apa-apa sebab lain.
YDA yang menjalankan tugas rasminya melalui fungsi dan kuasa eksekutif, legislatif dan kehakiman hendaklah menjalankannya melalui nasihat yang diberikan Kabinet atau Jemaah Menteri yang Baginda lantik termasuk lantikan Perdana Menteri di bawah Per 43. Walaupun Baginda hendaklah mentadbir mengikut nasihat seperti yang disyaratkan Per. 40, Baginda adalah berkuasa penuh di bawah Per 40(2) dalam memperkenankan atau sebaliknya berkaitan membubarkan Parlimen untuk tujuan pilihanraya Umum. Baginda adalah Ketua Tertinggi Angkatan Tentera Persekutuan (Per. 41) sementara berkuasa (melalui nasihat Kabinet) bertindak sesuatu untuk Perkhidmatan Awam (Per. 132(2). Kuasa mengampunkan sesuatu kesalahan jenayah atau melegakan hukuman bagi kesalahan-kesalahan yang berlaku di wilayah Persekutuan juga adalah kuasa tersedia pada YDA.
YDA mempunyai Kuasa Perundangan atau kuasa legislative Persekutuan. Parlimen Malaysia, misalnya, adalah atas nama YDA, Dewan Rakyat dan Dewan Negara. Tanpa YDA Dewan-Dewan Perundangan tersebut tidak cukup syarat fungsi dan kuasanya. Semua Akta yang diluluskan Parlimen hendaklah mendapatkan tandatangan kelulusan Baginda walaupun di bawah Per 66 ada beberapa syarat tempoh yang harus dipatuhi Baginda sekiranya tidak bersetuju dengan sesuatu Rang Undang-Undang itu dijadikan undang-undang penuh. Sementara anggota Dewan Rakyat dipilih terus oleh Rakyat, Baginda (atas nasihat) boleh melantik 40 anggota Dewan Negara (Per. 45).
Di bawah Per. 55 YDA tidak boleh membenarkan Parlimen tidak bersidang bagi tempoh 6 bulan dari tarikh persidangan terakhir. Jika dalam tempoh itu Parlimen gagal bersidang, Baginda boleh membubarkan Parlimen dan mengarahkan pilihan raya umum diadakan. Di bawah artikel yang sama, kuasa mutlak Baginda sebagai ketua agama Islam juga tersedia. Per. 60 membenarkan YDA bertitah kepada majlis Parlimen atas apa-apa perkara kenegaraan yang wajar.
Dari segi Kehakiman atau Judisiari pula, YDA adalah kuasa lantikan hakim-hakim mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan menurut aluran yang berkuat kuasa dan dikemaskini. Sepertimana dimaklum, para hakim Negara adalah dilantik oleh Baginda setelah mendapatkan nasihat Perdana Menteri dan berunding dengan Majlis Raja-Raja.
Kuasa-kuasa YDA di bawah pelbagai undang-undang lain juga merupakan sebahagian daripada urusan rasmi Baginda sekalipun pada masa ini banyak aspek dan tugasan eksekutif itu telah diseragamkan dengan kuasa-kuasa eksekutif, legislatif dan kehakiman yang lain. Jarang diketahui, kuasa YDA di bawah Per. 153 dalam menjaga dan memelihara keistimewaan orang Melayu dan Bumiputra di Sabah dan Sarawak, terdapat jaminan bahawa Baginda tidak boleh mengenepikan hak-hak komuniti lain seperti terkandung di dalam ayat “dan kepentingan-kepentingan sah kaum-kaum lain”. Ayat ini sering ditinggalkan dalam hujah dan ucapan mengenai kuasa kerajaan dan Di-Raja dalam menjaga dan memelihara hak-hak rakyatnya. Aspek ini wajar diserlahkan supaya kritikan melulu tidak berterusan seolah-olah kerajaan ‘tak ambil pusing’ tentang kepentingan kaum-kaum di tanah air kita.
Memang diakui, institusi YDA dan sebahagian besar tugas dan fungsi Baginda adalah sekitar 54 tahun, yakni seusia negara kita yang merdeka. Namun di sebalik usia yang boleh dianggap ‘muda’ itu terkandung kelangsungan satu institusi Di-Raja yang amat lama. Sejak zaman Demang Lebar Daun dalam Sejarah Melayu hinggalah ke tamadun kesultanan negeri-negeri Melayu dan Melaka seterusnya dari sana sampailah ke hari ini – Raja dalam sejarah dan tamadun orang Melayu sudah sedarah sedaging lalu menjadi integral dan sebati. Faksi masyarakat yang memandang sepi terhadap institusi Raja, walaupun kecil, harus menerima hakikat bahawa institusi itu jika baik fungsi dan perimbangannya akan membentuk tamadun yang positif.
Masyarakat Cina dan India serta lain-lain mungkin telah meninggalkan tamadun berRaja mereka masing-masing atas cetusan sejarah dan mobilisasi kemanusiaan mereka. Namun di Malaysia institusi Raja Berperlembagaan ini sepertimana halnya dengan orang Inggeris, Jepun, Sweden dan Denmark dengan institusi Raja mereka, sudah menjadi kekal dan diterima rakyat. Sistem Raja Berpelembagaan mungkin ada pengkritiknya masing-masing. Tetapi bagi kita di Malaysia, walaupun dikenal sebagai negara yang paling ramai mempunyai Raja sebagai pucuk kenegaraan, telah membuktikan bahawa system demokrasi Malaysia telah menghasilkan suatu cara hidup kepelbagaian yang munasabah dan saling berimbangan.
Yang Di-Pertuan Agong (YDA) adalah simbol kedaulatan negara dan rakyat Malaysia. Baginda adalah unsur atau elemen perimbangan kenegaraan dan pentadbiran yang telah menghasilkan Malaysia tercinta.Mengadap Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Al-Wathiqu Billah Tuanku Mizan: Menjunjung Kasih Tuanku kerana Berjaya menjadi Payung Negara berjasa yang akan meneruskan persemayaman di Terengganu. Mengadap Almu’tasimu Billahi Muhibuddin Sultan Abdul Halim Dirgahayu Tuanku, Rakyat menyambut dengan penuh gembira pelantikan Tuanku Kali ke-2 sebagai Yang Di-Pertuan Agong Malaysia yang ke-14. Hidup 1Malaysia !
Rotan saga banyak dihulu
Diikat raga di bawah persada
Walau apapun akan berlaku
Rakyat dan Raja berpisah tiada
DASURY
11 Disember 2011


























