APAKAH YANG DIMAKSUD DENGAN GAGASAN 1MALAYSIA?
Gagasan ‘1Malaysia’ adalah satu kesinambungan agenda pembangunan negara yang diperkenalkan oleh YAB Dato’ Sri Mohd. Najib Tun Abdul Razak, Perdana Menteri apabila beliau mengambil alih teraju pentadbiran negara. Ia berteraskan nilai–nilai penting yang seharusnya menjadi amalan setiap rakyat Malaysia selaras dengan Perlembagaan Persekutuan dan Prinsip-Prinsip Rukun Negara.
ADAKAH GAGASAN 1 MALAYSIA MERUPAKAN SATU DASAR BARU KERAJAAN?
Gagasan 1Malaysia bukanlah satu gagasan yang mendukung atau memajukan satu dasar baru. Sebaliknya, ia adalah satu gagasan pelengkap atau kesinambungan kepada pendekatan terdahulu yang diamal dan diterapkan untuk terus mengukuhkan perpaduan, kestabilan, keamanan dan kesejahteraan supaya meningkatkan pertumbuhan ekonomi dan kemajuan negara supaya dapat dinikmati oleh seluruh rakyat Malaysia.
Matlamat 1Malaysia adalah untuk melahirkan sebuah negara bangsa Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama yang harus menganggap diri mereka sebagai satu keluarga besar dan sekaligus mencapai perpaduan yang jati antara berbilang kaum.
APAKAH INTIPATI UTAMA YANG TERKANDUNG DALAM GAGASAN 1MALAYSIA?
Gagasan 1Malaysia menekankan sikap penerimaan kelainan atau kepelbagaian yang wujud di kalangan rakyat sebagai satu realiti hidup rakyat Malaysia. Rakyat berbilang keturunan dan etnik di Malaysia perlu menerima keunikan kaum yang lain tetapi tetap mengutamakan kesetiaan kepada negara mengatasi kesetiaan kepada kaum dan kelompok sendiri. Malah, mereka perlu bersedia hidup bersama dalam keadaan saling hormat menghormati nilai-nilai dan kepercayaan kaum yang lain.
APAKAH GAGASAN 1MALAYSIA AKAN MELENYAPKAN HAK KEISTIMEWAAN KAUM BUMIPUTRA (MELAYU) DAN LEBIH MEMENTINGKAN KEPENTINGAN RAKYAT BUKAN MELAYU?
Gagasan 1Malaysia mendukung prinsip keadilan untuk semua kaum. Ini bermakna, nasib dan kepentingan semua kaum tetap dibela dan mana-mana kaum atau kumpulan masyarakat pun tidak dipinggirkan.
Hakikatnya, Gagasan 1Malaysia menegaskan bahawa tidak siapapun rakyat Malaysia perlu menganggap diri mereka sebagai rakyat kelas 2 atau dipinggirkan dalam arus pembangunan perdana negara ini. Malah setiap kaum, bumiputra ataupun bukan bumiputra, yang memerlukan bantuan untuk meningkatkan taraf dan kualiti hidup masing-masing akan dibantu oleh kerajaan.
APAKAH NILAI-NILAI UTAMA YANG DIMAJUKAN OLEH GAGASAN 1MALAYSIA?
Gagasan 1Malaysia adalah pemangkin kepada kelahiran sebuah negara bangsa yang mementingkan sikap kesamaan dan kekitaan (togetherness) di kalangan rakyat. Malah, rakyat perlu memahami dan menghayati nilai-nilai utama yang digolongkan dalam nilai teras 1Malaysia, iaitu budaya kecemerlangan, ketabahan, rendah hati, penerimaan, kesetiaan, meritokrasi, pendidikan dan integriti.
Sesungguhnya, semua kaum perlu menganggap bahawa mereka adalah rakyat jati Malaysia di mana segala hasil pembangunan perlu dinikmati secara bersama. Rakyat Malaysia perlu menganggap Malaysia sebagai negara ibunda atau negara kita bersama, di mana semua kaum atau masyarakat dapat hidup aman dan sentosa.
APAKAH GAGASAN 1MALAYSIA AKAN LENYAPKAN IDENTITI PELBAGAI KAUM DI MALAYSIA?
Usaha melahirkan satu generasi rakyat 1Malaysia bukanlah merupakan satu proses asimilasi yang boleh melenyapkan identiti kaum atau etnik dan digantikan dengan satu identiti nasional seperti diamalkan di negara-negara lain.
Sebaliknya, Gagasan 1Malaysia menghargai dan menghormati identiti dan keunikan kaum dan etnik masing-masing selaras dengan kerangka yang telah dipersetujui dalam kontrak sosial oleh pelopor-pelopor kemerdekaan tanah air.
Malah, Gagasan 1Malaysia memajukan konsep bahawa keunikan dan kelainan yang wujud di kalangan rakyat Malaysia sebagai satu aset yang patut dibanggakan oleh rakyat Malaysia kerana keunikan itu membantu usaha meningkatkan pembangunan Negara kepada tahap yang lebih tinggi.
APAKAH BENAR DAKWAAN BAHAWA ISTILAH ‘SATU’ DALAM GAGASAN ‘1MALAYSIA’ DITAKRIFKAN SEBAGAI SATU USAHA MENGHAPUSKAN CIRI-CIRI PELBAGAI KAUM DAN ETNIK DI MALAYSIA?
Gagasan 1Malaysia adalah dimajukan bersandarkan Perlembagaan Persekutuan dan Rukunegara. Ini bermakna dasar-dasar kerajaan dan program-program pembangunan yang disediakan bagi kaum bumiputra dan bukan bumiputra akan terus disediakan berdasarkan peruntukan-peruntukan yang sedia ada dalam Perlembagaan Persekutuan. Semua kaum dan etnik akan mendapat pembelaan dan bantuan selaras dengan peruntukan-peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan yang digubal berteraskan semangat tolak ansur yang telah berlaku antara kaum yang umumnya dirujuk sebagai kontrak sosial.
Peruntukan-peruntukan yang penting yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan seperti Perkara 4 (1) yang mengiktiraf Perlembagaan Persekutan sebagai undang-undang utama Negara, Perkara 3 (1) yang memartabatkan kedudukan agama Islam sebagai agama Persekutuan, manakala warga bukan Islam boleh mengamalkan agama masing-masing dengan aman dan damai, Perkara 152 yang memperakui Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan lain-lain bahasa rakyat Malaysia boleh belajar dengan bebas, Perkara 153 yang memberi hak keistimewaan kepada kaum Melayu dalam program-program yang disediakan dalam sektor awam dan hak-hak yang sah bagi kaum bukan Melayu serta kedaulatan Raja-Raja Melayu dan hak kerakyatan kepada kaum bukan bumiputra masih terus menjadi tunggak dan teras 1Malaysia.
APAKAH BENAR DAKWAAN GAGASAN 1MALAYSIA ADALAH SAMA DENGAN KONSEP ‘MALAYSIA MALAYSIA’ YANG DILAUNGKAN OLEH PARTI DAP?
Konsep ‘Malaysian Malaysia’ yang dimajukan oleh parti PAP dari Singapura yang kemudiannya diterimapakai oleh DAP dalam politik Malaysia bertujuan melenyapkan hak keistimewaan yang diperuntukkan untuk kaum bumiputra dalam Perlembagaan Persekutuan dan bermatlamatkan menegakkan hak samarata bagi semua kaum tanpa memperhitungkan atau mengetepikan peruntukan-peruntukan utama yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan. Konsep Malaysian Malaysia juga didapati bertentangan dengan semangat kontrak sosial yang merupakan asas dan tonggak kepada pemerintahan negara ini sejak merdeka.
Sebaliknya, Gagasan 1Malaysia merupakan satu penerusan agenda melahirkan sebuah negara bangsa bersandarkan Perlembagaan Persekutuan. Malah, Gagasan 1Malaysia lebih memfokuskan kepada menyediakan peluang-peluang yang samarata, membantu kumpulan dan golongan rakyat yang masih tertinggal dalam arus perdana pembangunan negara, mendorong kumpulan yang lebih kaya membantu kumpulan dan golongan yang masih berkurangan dan memerlukan bantuan. Ini bermakna Gagasan 1Malaysia lebih menterjemahkan semangat keadilan sosial kepada rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama dan budaya.
APAKAH BENAR DAKWAAN BAHAWA GAGASAN 1MALAYSIA MENGHAPUSKAN HAK KEISTIMEWAAN KAUM BUMIPUTRA YANG TERKANDUNG DALAM PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN ?
Tidak benar. Gagasan 1Malaysia bukanlah satu usaha menghapuskan hak keistimewaan kaum bumiputra yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan. Gagasan 1Malaysia adalah dimajukan berteraskan Perlembagaan Persekutuan dan Rukunegara. Ini bermakna dasar-dasar kerajaan dan program-program pembangunan yang disediakan bagi meningkatkan kedudukan sosial dan ekonomi orang Melayu supaya setanding dengan lain-lain kaum akan terus disediakan berdasarkan peruntukan-peruntukan yang sedia ada dalam Perlembagaan Persekutuan. Namun, lain-lain kaum dan etnik juga terus mendapat pembelaan dan bantuan selaras dengan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan yang digubal berteraskan semangat kontrak sosial.
APAKAH BENAR DAKWAAN GAGASAN 1MALAYSIA ADALAH SATU SLOGAN ‘LIP-SERVICE’ ATAU STRATEGI POLITIK UNTUK MEMUJUK WARGA BUKAN MELAYU MEMIHAK BN?
Gagasan 1Malaysia adalah satu proses penerusan pendekatan kerajaan BN bagi mengukuhkan perpaduan yang sedia terjalin di kalangan rakyat Malaysia. Perpaduan rakyat adalah matlamat utama dasar dan program kerajaan sejak merdeka. Mantan Perdana Menteri seperti Tunku Abdul Rahman, Tun Razak, Tun Hussein Onn, Tun Dr. Mahathir Mohamed dan Tun Abdullah Ahmad Badawi telah mengasaskan dasar-dasar tertentu untuk mengukuh perpaduan di kalangan rakyat yang berbilang kaum dan keturunan. Dato’ Seri Najib Tun Razak yang mengambil alih teraju pentadbiran negara pada bulan April 2009 meneruskan tradisi menyatupadukan rakyat melalui pendekatan Gagasan 1Malaysia.
APAKAH BENAR DAKWAAN GAGASAN 1MALAYSIA MERUPAKAN SATU RETORIK POLITIK SEMATA-MATA?
Kerajaan BN yang dipimpin oleh Dato’ Seri Najib Tun Razak amat komited terhadap merealisasikan Gagasan 1Malaysia sejak diumumkan. Dasar-dasar dan program-program pembangunan yang diumumkan oleh Najib selaku Perdana Menteri dengan jelas menunjukkan keikhlasan beliau dalam menterjemahkan Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.
Program-program pembangunan bagi meningkatkan kualiti hidup rakyat diberi perhatian dan keutamaan dalam pendekatan 1Malaysia. Maka, kaum yang dianggap
tertinggal dalam bidang ekonomi-sosial berbanding dengan kaum lain, kini diberi pertimbangan khusus dalam sektor sosio-ekonomi mereka.
Pada masa yang sama, kerajaan telah memperkenalkan Petanda Utama Pencapaian atau Key Performance Indicator( KPI) untuk mengukur dan menilai prestasi perkhidmatan kerajaan malah menggerak dan mendorong sektor perkhidmatan awam meningkatkan kecekapan dan kualiti perkhidmatannya kepada rakyat. KPI bagi 6 Jabatan kerajaan juga telah ditetapkan baru-baru ini dalam merealisasikan Gagasan 1Malaysia.
Ini jelas menunjukkan bahawa Gagasan 1Malaysia bukan satu retorik politik semata-mata, malah kerajaan komited dan bersungguh-sungguh dalam menterjemahkan hasrat ‘1Malaysia’.
KENAPA MASIH DITERUSKAN DASAR HAK KEISTIMEWAAN KEPADA KAUM MELAYU SEKIRANYA GAGASAN 1MALAYSIA MEMENTINGKAN PRINSIP KESAMARATAAN (EQUALITY) ANTARA KAUM?
Gagasan 1Malaysia bukan bermaksud kesamarataan antara kaum atau equality dalam konteks hak–hak yang terjamin dalam Perlembagaan Persekutuan bagi sesuatu kaum tertentu.
Dasar-dasar afirmatif yang disediakan untuk membantu kaum bumiputra yang didapati masih tertinggal dalam bidang ekonomi berbanding dengan lain-lain kaum akan terus diberi tumpuan. Pada masa yang sama, kerajaan memberi pertimbangan yang adil dan saksama bagi membantu kaum bukan Bumiputra yang memerlukan bantuan dan pertolongan kerajaan supaya mereka keluar dari lingkaran kemiskinan yang waris sejak merdeka.
Sesungguhnya, Gagasan 1Malaysia lebih bertekad memfokuskan kepada penerimaan dan penerapan nilai-nilai murni seperti kekitaan, memikir dan bertindak sebagai satu bangsa Malaysia, menghapuskan pemikiran yang bersandarkan satu kaum dan etnik tertentu di kalangan rakyat. Malah, mendorong rakyat lebih mementingkan kepentingan negara dalam perjuangan masing-masing daripada memenuhi kepentingan dan keperluan sesuatu kaum tertentu yang tidak terhad.
BENARKAH 1MALAYSIA SAMA DENGAN ONE ISRAEL?
One Israel bersifat rasis, egoistic, cauvinistik dan partikularistik dan mengamalkan dasar diskriminasi terhadap bangsa Arab Palestine dan ianya dicipta khusus untuk bangsa Yahudi. Rejim Israel melaksanakan dasar pembangunan sosioekonomi untuk kaum Yahudi dan menindas kaum Palestine. Sebaliknya 1Malaysia mendukung konsep ‘rakyat’ yakni memberikan hak kepada semua rakyat tanpa mengira kaum.
APAKAH REAKSI RAKYAT TERHADAP GAGASAN 1MALAYSIA KEPADA RAKYAT MALAYSIA?
Perledakan teknologi maklumat dan proses globalisasi telah mencetuskan pelbagai reaksi rakyat terhadap usaha menyatupadukan rakyat Malaysia yang berbilang kaum, keturunan dan etnik, malah cita rasa politik yang berbeza-beza.
Sesungguhnya, perpaduan yang erat dan tulen antara berbilang kaum di Malaysia adalah asas dan teras bagi bukan sahaja menguatkan negara mengadapi ancaman globalisasai malah menjadi satu mekanisme untuk mempertahankan keamanan, keharmonian dan kesejahteraan yang sedia terbina dan dinikmati rakyat sejak merdeka.
Dalam konteks inilah Gagasan 1Malaysia dilihat dapat memainkan peranan penting dalam usaha mengukuhkan perpaduan rakyat serta memastikan kesinambungan agenda pembinaan negara yang bersatupadu.
Disediakan oleh ;
Panel Pemikir JASA 2012


























