Paparan Lagu

There seems to be an error with the player !

1malaysiakkmm senyum webmail piagam atastalian data

 
MOBILE / WEB 2.0

yt rss fb-kp qrjasa

mobileview

 
Pautan Agensi KKMM
kkmmbernamartmfilem
finasipptarjpenskmm
 
Pautan Umum
mygov msc spa
pmspk KSN mampu
jpm upustaka
pemudah intan
Jumlah Pengunjung
Hari IniHari Ini240
Minggu IniMinggu Ini1848
Bulan IniBulan Ini6156
Jumlah TerkiniJumlah Terkini270281

Strategi dan harapan RMK-10

Oleh MOHD. AYOP ABD RAZID

RANCANGAN Malaysia Kesepuluh (RMK-10) penting untuk memulihkan keadaan ekonomi negara yang tergugat kesan daripada kejatuhan ekonomi global. Prestasi ekonomi negara menguncup pada 2009 dan kembali berkembang secara perlahan pada 2010. Keseluruhannya, pencapaian ekonomi negara dari 2000 - 2009 adalah pada kadar 4.5 peratus hingga 5.0 peratus. Prestasi pertumbuhan dalam tempoh RMK-9 mencatatkan 4.2 peratus setahun.

Ia meninggalkan kesan pada 2010 di mana berlakunya jurang sebanyak 26 peratus bagi pencapaian Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), manakala jurang dalam Keluaran Negara Kasar (KNK) pula adalah 52 peratus. Justeru, kadar pertumbuhan ekonomi negara perlu dinaikkan agar tidak wujud jurang yang besar.

Ia adalah cabaran kerana untuk tempoh lima tahun akan datang, ekonomi dunia dijangka berkembang pada kadar 4.5 peratus. Ia berasaskan kepada pertumbuhan ekonomi negara membangun dan negara baru yang dianggarkan pada kadar 6.6 peratus setahun.

Apa pun, dari segi agenda nasional, RMK-10 amat penting bagi mencapai Wawasan 2020. Justeru, RMK-10 perlu melonjakkan pertumbuhan KDNK pada kadar enam peratus setahun. Kerajaan juga perlu mengurangkan defisit fiskal daripada 5.3 peratus dalam tahun 2010 kepada kurang daripada tiga peratus pada tahun 2015.

Petunjuk positif pertumbuhan ekonomi negara sudah ada. Bagi suku tahun pertama tahun ini, ekonomi negara sudah mencapai pertumbuhan sebanyak 10 peratus. Pasaran eksport negara dijangka berkembang sebanyak 10.6 peratus setahun di mana sektor pembuatan dilihat akan menyumbang sebanyak 78.8 peratus daripada jumlah eksport pada akhir RMK-10.

Kerajaan juga meletakkan sasaran urusan perniagaan negara pada kedudukan 10 negara teratas di dunia menjelang akhir 2015. Sasaran itu akan meletakkan negara mampu berdaya saing di peringkat global serta menjadi destinasi penting menjalankan perniagaan di Asia.

Dasar kewangan negara yang dinamik dan pragmatik juga telah menyumbang kepada pemulihan ekonomi domestik. Daya tahan sistem kewangan negara tetap kukuh. Sistem perbankan kita tidak terjejas. Menurut Laporan Tahunan dan Kestabilan Kewangan 2009, modal wajaran risiko perbankan kita meningkat pada paras 14.8 peratus pada akhir 2010 berbanding 12.6 peratus pada 2008.

Yang jelas, RMK-10 menampakkan satu perancangan rapi kerajaan untuk melakukan program reformasi ekonomi negara. Dengan jumlah peruntukan sebanyak RM290 bilion, kerajaan berusaha menyediakan pentas untuk transformasi ekonomi negara ke arah ekonomi berpendapatan tinggi. Ini bermakna dalam tempoh lima tahun RMK-10, purata pendapatan rakyat perlu ditingkatkan sekali ganda daripada kadar sedia ada (RM26,420) kepada RM38,850 setahun.

Di antara cabaran kerajaan bagi menjayakan RMK-10 ialah mengurus kewangan awam secara mapan dengan mengimbangkan di antara usaha menyokong pertumbuhan ekonomi dengan pengurangan defisit fiskal secara teratur dan berkesan. Defisit fiskal kerajaan membesar sejak 12 tahun lalu kerana kekurangan pelaburan modal dari sektor swasta dan Pelaburan Asing Langsung (FDI). Senario itu menyebabkan kerajaan terpaksa lebih banyak melabur menyebabkan defisit fiskal kerajaan tidak dapat dikecilkan.

Justeru, di dalam RMK-10, kerajaan akan memastikan sektor swasta akan memainkan peranan penting dalam pertumbuhan ekonomi negara. Untuk pengurusan awam yang mapan, kerajaan akan melaksanakan beberapa perkara iaitu memberi tumpuan kepada usaha mengurangkan subsidi secara berperingkat, meningkatkan kecekapan dan ketelusan dalam perolehan, memacu produktiviti melalui penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta memperluas akses pungutan cukai.

Untuk memastikan RMK-10 berjalan dengan baik dan berkesan maka kerajaan menyediakan mekanisme bagi memantau pelaksanaan program dan aktiviti melalui petunjuk prestasi utama (KPI) bagi setiap menteri dan kementerian.

Selain itu, usaha untuk mewujudkan persekitaran yang boleh merangsang dan menjayakan pertumbuhan ekonomi dan NKEA akan diberi keutamaan. Terdapat 10 premis atau idea utama di bawah RMK-10 yang akan berupaya melonjakkan status negara maju.

Premis-premis tersebut adalah ekonomi dipacu oleh faktor dalam negeri di samping mengambil kira persekitaran luar negara; memanfaatkan kepelbagaian etnik untuk mencapai kejayaan di pentas antarabangsa; transformasi ke arah negara berpendapatan tinggi menerusi pengkhususan; menjayakan pertumbuhan yang diterajui oleh produktiviti dan inovasi; memupuk, menarik dan mengekalkan modal cemerlang; memastikan peluang sama rata dan melindungi golongan yang mudah terjejas; pertumbuhan menyeluruh, pembangunan inklusif; menyokong perkongsian pintar dan berkesan; menghargai khazanah dan alam sekitar dan kerajaan umpama syarikat yang berdaya saing.

Jika diteliti, idea-idea tersebut nampaknya menyokong dan mendukung lapan inisiatif yang digariskan oleh Majlis Penasihat Ekonomi negara (MPEN) bagi merealisasikan Model Baru Ekonomi (MBE).

Lapan inisiatif yang digariskan itu termasuklah menyubur kembali sektor swasta; membangun tenaga kerja berkualiti dan mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing; menyubur ekonomi domestik yang berdaya saing; mengukuh sektor awam; tindakan afirmatif yang telus dan mesra pasaran; membina infrastruktur berasaskan pengetahuan; meningkatkan sumber pertumbuhan; dan memastikan kebolehmapanan pertumbuhan.

Potensi pertumbuhan ekonomi di bawah RMK-10 perlu direalisasikan melalui peningkatan pelaburan dan produktiviti, kreativiti dan inovasi serta penggunaan modal insan dan sumber asli dan kewangan secara optimum. Keperluan terhadap penggunaan modal insan yang berkualiti dan cemerlang amat penting dan ia dilihat sebagai faktor kritikal bagi menjayakan RMK-10.

Justeru, tumpuan akan diberikan kepada program pembangunan kemahiran, aktiviti R&D dan modal teroka. Di antara isu yang harus ditangani kerajaan dalam soal modal insan ini ialah pengaliran kepakaran dan tenaga kerja mahir ke luar negara. Negara rugi apabila modal insan yang telah dilatih melalui sumber kewangan kerajaan dimanfaatkan oleh negara lain. Pendapatan dan insentif yang lebih baik harus dirangka bagi membendung aliran itu.

Berdasarkan senario yang ada pada hari ini, beberapa cabaran mungkin dihadapi oleh negara. Cabaran yang besar ialah kemungkinan berlakunya sentimen pelaburan yang rendah kesan daripada pertumbuhan ekonomi global yang perlahan. Selain itu, dasar inward looking di negara maju serta persekitaran pelaburan yang semakin kompetitif boleh menjejaskan FDI.

Kita yakin perkara itu dapat diurus dengan baik kerana di bawah RMK-10, kerajaan sudah menggariskan lima tumpuan utama bagi menjayakan RMK-10.

Pertama, mewujudkan persekitaran untuk pertumbuhan ekonomi yang diterajui oleh sektor swasta. Kedua, mewujudkan pembangunan sosioekonomi secara inklusif supaya kekayaan negara diagihkan secara saksama bagi mengurangkan ketidaksamaan.

Ketiga, membangun dan mengekalkan modal insan bertaraf dunia, terutama dalam menggalakkan produktiviti dan pertumbuhan diterajui inovasi. Keempat, mewujudkan persekitaran ke arah meningkatkan kualiti hidup supaya selari dengan status negara berpendapatan tinggi. Kelima, mentransformasikan kerajaan ke arah mentransformasikan Malaysia supaya mencapai taraf negara maju berpendapatan tinggi.

PENULIS ialah Ketua Unit Komunikasi Media, Jabatan Hal Ehwal Khas, Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan.

- Utusan 22 Jun 2010

 
:: Politik ::
(99) artikel ditemui ...

:: Penerangan Isu ::
(114) artikel ditemui ...

:: Ekonomi ::
(62) artikel ditemui ...

:: Luar Negara ::
(26) artikel ditemui ...

:: Isu Lapangan ::
(86) artikel ditemui ...

:: Wawancara/Ucapan ::
(29) artikel ditemui ...

:: Aktiviti JASA ::
(63) artikel ditemui ...

:: Minat/Hobi ::
(7) artikel ditemui ...

:: Agama ::
(12) artikel ditemui ...

:: Warisan ::
(8) artikel ditemui ...

:: Khidmat Pengurusan ::
(8) artikel ditemui ...

Dasar Privasi | Dasar Keselamatan | Penafian | Bantuan | Peta Laman | Hubungi Kami | Soalan Lazim
Tingkat 3 - 6, Blok D, Kompleks Pejabat Kerajaan, Bukit Perdana, Jalan Dato' Onn, 50610 Kuala Lumpur
Tel: 03-2698 7152, 03-2693 7502/7498/7469  Faks: 03-2694 4515  Emel: Alamat email ini dilindungi dari Spambot. Perlukan JavaScript untuk melihatnya
Hak Cipta Terpelihara Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) © 2012