Oleh Mohd Ayop Abd Razid
”Kesan positif ETP tingkat pelaburan asing, letakkan daya saing negara pada landasan kukuh”.
Saranan Pengerusi dan Ketua Pengarang Forbes Media, Steve Forbes supaya kerajaan Amerika Syarikat (AS) atau pentandbiran Obama mencontohi transformasi ekonomi Malaysia adalah satu pengiktirafan terhadap keupayaan pentadbiran Datuk Seri Najib melaksanakan Program Transformasi Ekonomi (ETP).
Kenyataan itu disebut oleh Steve dalam satu temubual dengan Berita Harian di luar Persidangan Ketua Eksekutif Forbes ke 11 di Kuala Lumpur pada 13 september lalu.
Sejak menjadi Perdana Menteri, Najib telah menunjukkan iltizamnya yang cukup tinggi untuk memulihkan kedudukan ekonomi negara yang terjejas akibat krisis ekonomi global. Langkah dan pendekatan yang beliau ambil adalah bagi mencorakkan pengurusan ekonomi yang lebih dinamik.
Jika kita imbas kembali usaha awal yang beliau ambil untuk merangsang semula pertumbuhan ekonomi negara ialah dengan melaksana pakej rangsangan ekonomi pada Mac 2009. Namun, pakej rangsangan ekonomi bukan satu-satunya ubat mujarab memulihkan ekonomi negara.
Persekitaran ekonomi yang semakin mencabar menuntut kerajaan merangka pelan transformasi ekonomi yang lebih responsif terhad perubahan dan cabaran global.
Untuk jangka masa panjang, Najib mahu kedudukan pendapatan negara berubah dari ekonomi berpendapatan sederhana kepada ekonomi berpendapatan tinggi menjelang 2020.
Ia merupakan satu cabaran besar kerana ia membabitkan momentum pertumbuhan ekonomi global yang masih lagi dipengaruhi oleh krisis kewangan antarabangsa.
Jika kerajaan tidak memiliki perancangan dalam memperbaiki keadaan ekonomi negara maka negara akan berhadapan dengan risiko kehilangan momentum pertumbuhan ekonomi dan pasaran. Untuk itu, pentadbiran Najib telah menggerakkan usaha untuk melaksanakan transformasi ekonomi.
Pada hakikatnya ia bermula dengan tindakan kerajaan mengumumkan liberalisasi dalam 27 sub-sektor perkhidmatan, disusuli langkah liberalisasi dalam sektor kewangan dan pelaburan. Pusingan terakhir langkah-langkah liberlisasai ekonomi dijangka akan dibentangtkan oleh Najib di dalam pembentangan Bajet 2012 nanti.
Langkah yang lebih konkrit diperkenalkan apabila Najib menggaris formula sebuah model baru dikenali sebagai Model Baru Ekonomi (MBE) yang diumumkan pada 2 Mei tahun lalu. MBE menekankan aspek-aspek inovasi, kreativiti dan nilai tinggi supaya impian untuk menjadikan Malaysia sebagai negara berpendapatan tinggi dengan sasaran per kapita AS$15,000-20,000 (RM22,931-RM49,137) pada tahun 2020 akan menjadi kenyataan. .
Bagi merangka program terperinci mengenai ekonomi Malaysia dalam masa 10 tahun akan datang, Najib memperkenalkan Program Tranaformasi Ekonomi (ETP) yang diumumkan pada 25 Oktober tahun lalu. ETP bertujuan menambah baik ekonomi Malaysia supaya menjadi lebih kompetitif dan berdaya tahan serta dapat memacu ke arah mencapai status negara berpendapatan tinggi.
ETP memberi tumpuan kepada 12 bidang ekonomi (NKEA) yang berpotensi untuk dijana dan bangunkan bersama oleh sektor swasta dan awam, di mana 92 peratus pelaburannya datang dari sektor swasta. Perkongsian awam-swasta ini adalah pendekatan utama yang digunakan kerajaan untuk merancakkan pertumbuhan ekonomi negara.
Ketika mengumumkannya, Najib menegaskan bahawa ETP mampu mencipta lebih daripada 3.3 juta pekerjaan menjelang 2020 dengan majoriti pekerjaan itu menawar kan gaji sederhana dan tinggi.
Selepas setahun dilancarkan, ETP telah berjaya menarik nilai pelaburan bernilai Rm171.21 bilion dan mampu menjana PNK bernilai RM228.55 bilion serta mewujudkan 372, 361peluang pekerjaan baru.
Baru-baru ini kerajaan telah mengumumkan lapan lagi projek pelaburan baru yang membabitkan pelbagai sektor NKEA seperti pendidikan, penjagaan kesihatan, pertanian, aeroangkasa, pemborongan, peruncitan dan pembuatan.
Pelaburan baru ini bernilai RM1.4 bilion serta mampu menjana RM8.4 bilion serta mewujudkan sebanyak 10, 000 peluang pekerjaan baru.
ETP juga telah menjadi rangsangan utama untuk menarik semula pelaburan langsung asing (FDI) di mana kemasukan FDI untuk suku pertama tahun ini adalah berbnilai RM21.3 bilion mengatasi tempoh yang sama tahun lalu dengan lonjakan sebanyak RM12.1 bilion. Adalah dijangkakan FDI negara akan mencapai jumlah yang lebih tinggi berbanding tahun lalu.
Peningkatan masuk FDI membuktikan bahawa perubahan atau transformasi ekonomi di bawah pentadbiran Najib memberikan kesan positif terhadap pelaburan asing. Ia sekali gus meletakkan daya saing negara berada dalam keadaan kukuh.
Buktinya ialah Laporan Daya Saing Global 2011 yang dikeluarkan oleh Forum Ekonomi Global meletakkan negara berada di tempat ke 21 daripada 142 negara yang ditinjau. Tahun lalu daya saing kita berada di tangga ke-26. Laporan itu turut menyebut, di kalangan negara ASEAN, negara berada di tempat kedua selepas Singapura dan tempat keenam di Asia.
Perkara penting yang harus diberi perhatian oleh kerajaan ialah usaha untuk mempertingkatkan kedudukan pelaburan Malaysia di peringkat serantau. Pada tahun lalu ASEAN menerima peningkatan pelaburan di kalangan negara serantau sebanyak AS$12.1 bilion berbanding AS$ 5.2 bilion tahun 2009.
Pelaburan antara negara ASEAN menyumbang 16.0 peratus daripada jumlah aliran FDI yang mengalir ke rantau itu di mana pelaburan Malaysia bernilai AS$2.3 bilion, manakala Singapura adalah pelabur terbesar bernilai AS$7.4 bilion RM22.2 bilion) .
Pelaburan serantau ini amat penting dan ia selari dengan matlamat untuk menubuhkan Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) menjelang 2015. Justeru, kerajaan mestilah melipatkan usaha menarik pelaburan negara-negara ASEAN melabur di Malaysia.
Pelaburan, sama ada pelaburan domestik mahupun pelaburan asing di lima kawasan pembangunan koridor negara harus dipertingkatkan melalui 12 bidang NKEA. - BH 16/9/2011
__________________________________________________________
Penulis ialah Ketua Unit Penerbitan, Jabatan hal Ehwal Khas (Jasa), Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan.








