Oleh: Siti Aisah Binti Muharom
Unit Komunikasi Media
12 Jun 2011- Program Konvoi Kembara 4x4 JASA Prihatin merupakan program yang julung-julung kali diadakan oleh Jabatan Hal Ehwal Khas. Seramai 113 orang telah menyertai program pada kali ini yang terdiri daripada pegawai JASA Ibu Pejabat dan Pegawai JASA Negeri Perak. Selain itu juga program turut disertai oleh Jabatan Kemajuan Orang Asli (JKOA), Pejabat Daerah dan Tanah Slim River, Jabatan Penyiaran (RTM) Negeri Perak, Jabatan Kesihatan Perak, Ahli-ahli Kem Rakan Siswa JASA (KARISMA JASA), PDRM, RELA,JPA3 serta Persatuan 4WD 4X4 Selangor. Sebanyak 20 buah kenderaan 4x4 terlibat dalam program ini.
Pelepasan konvoi 20 buah kenderaan 4x4 tersebut telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri II, Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, YBhg. Datuk Maglin Dennis D’Cruz bersama-sama Timbalan Ketua Pengarah JASA, YBhg. Datuk Abu Talib Bin Harun pada 11 Julai 2011 bertempat di Perkarangan Restoran Warisan, Kuala Lumpur.
Sesi Pelepasan kedua pula telah disempurnakan oleh ADUN Slim, YB Dato’ Mohd Khusairi Bin Abdul Talib bertempat di Perkarangan Masjid Slim River pada tarikh yang sama.
Pada kali ini JASA telah memilih untuk mengadakan program di Ulu Slim, Perak melibatkan masyarakat Orang Asli di 3 lokasi terpilih iaitu Kampung Tibang (34 buah rumah), Kampung Keding (25 buah rumah) dan Kampung Tenau (80 buah rumah) yang berlansung pada 11 dan 12 Julai 2011.
Pelbagai acara telah disusun sepanjang 2 hari program berlangsung antaranya pengagihan sumbangan kepada masyarakat Orang Asli, gotong-royong mendirikan papan tanda nama kampung yang terlibat , Sukan Rakyat, Majlis Ramah Mesra bersama Masyarakat Orang Asli, persembahan kebudayaan Orang Asli, serta cabutan bertuah .
Melalui program ini juga, Kempen Kibaran Jalur Gemilang di Kampung Pendalaman turut diselitkan sebagai salah satu pengisian bagi menyemarakkan Hari Kebangsaan yang semakin hampir. Program ini turut dijadikan platform bagi menerangkan Gagasan 1Malaysia secara tersurat dan tersirat melalui majlis penerangan di perkampungan mereka.
Program ini dilihat telah berjaya mencapai objektifnya untuk memberi input yang baik kepada para peserta dalam memahami kehidupan Orang Asli yang tinggal di kawasan terpencil selain mendekatkan masyarakat orang asli dengan pemimpin setempat serta menyelami permasalahan serta keperluan masyarakat Orang Asli.
Kerjasama yang diberikan oleh agensi-agensi yang terlibat juga amat baik. Sambutan dan penyertaan penduduk kampung dalam setiap acara pula sangat memberangsangkan, menggambarkan mereka sangat komited dengan acara-acara yang dibawa oleh kerajaan dalam menyampaikan mesej Gagasan 1Malaysia.
Pemeriksaan kesihatan oleh Pejabat Kesihatan Daerah turut diadakan. Pada hari kedua program , (12 Julai 2011) peserta telah berakit ke Jeram Slim River Perak. Program ini akan diadakan di lokasi-lokasi terpilih lain seperti di Kelantan dan Pahang pada tarikh yang akan ditentukan kelak.


























